Home Minda Presiden

Islamofobia: Senjata Makan Tuan

1,557 views
SHARE

Minda Presiden PAS

ISLAMOFOBIA: SENJATA MAKAN TUAN


Islamofobia adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka buruk dan diskriminasi terhadap Islam, penganutnya dan organisasi Muslim, khususnya yang berjuang untuk menegakkan semula politik Islam.

Istilah ini menjadi popular selepas serangan 11 September 2001, sehingga mentakrifkan Islamofobia sebagai rasa takut dan benci terhadap Islam, lalu membawa kepada permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenarnya terkandung dalam sumber yang sebenar, iaitu Al-Quran, As-Sunnah, dan ijtihad kalangan ulama’ muktabar yang diyakini ilmu dan kefahamannya serta melaksanakan Islam yang sebenarnya bersifat keadilan sejagat.

Islamofobia kini bersifat ideologi sesat terhadap Islam, sehinggalah mencetuskan kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan politik, ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Islamofobia juga termasuk persepsi yang dipengaruhi oleh media Barat yang tidak adil kepada Islam dengan mencetuskan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas sehingga Islam tidak lagi dikenali sebagai satu agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam..

Media yang dikuasai oleh politik musuh Islam digunakan habis-habisan untuk menyebarkan fahaman yang salah terhadap hakikat yang sebenarnya terkandung dalam ajaran Islam dan sejarah keemasannya yang mencipta tamadun dunia yang diciplak sebahagiannya oleh tamadun moden Barat kini tetapi berkonsepkan sekularisme Kristian yang tidak sama dengan Islam sebagai Ad-Din.

Banyak pengaruh Islam yang positif dalam tamadun Barat, antaranya demokrasi purba berubah kepada demokrasi moden. Sebelum itu, negara Barat seringkali mengubah kerajaan dengan peperangan sesama sendiri kerana pendekatan revolusinya yang mengganas. Bandingkan betapa banyak mangsa korban perubahan kerajaan di negara Barat sebelum mengubah kepada demokrasi dengan jumlah yang sangat kecil dalam kemenangan Islam ketika Fathu Makkah, bahkan ramai yang diberi pengampunan. Selain itu, pengaruh Islam juga meresap masuk dalam aspek ekonomi, sehinggalah kemajuan sains dan teknologi.

Kitab suci Al-Quran yang ditafsirkan oleh hadis Rasulullah S.A.W. mendahulukan konsep damai dalam hubungan dengan semua pihak, adil terhadap semua dan rahmat kepada seluruh alam.

Termasuk juga undang-undang syariatnya yang paling keras terhadap kejahatan dan kesalahan jenayah yang berat, dan wajibnya sehingga berperang terhadap penceroboh yang melampau kezalimannya, tetapi Islam menegah tindakan melampaui batas kemanusiaan.

Firman Allah:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190)

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah (Islam) akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”. (Surah Al-Baqarah: 190)

Tegasnya Islam mengharamkan amalan melampau walaupun terhadap musuh yang menceroboh negara Islam dan umatnya. Bandingkan pula dengan teknologi Barat yang dikatakan bertamadun terkini mencipta senjata pemusnah yang diharamkan oleh Islam dengan dianggap dosa yang dihukum di Hari Akhirat, dan undang-undang antarabangsa yang tiada balasan Akhirat, maka dikecualikan negara besar boleh melakukan jenayah perang.

Merekalah yang melaksanakan ideologi imperialisme yang membakar hangus negara yang dijajahnya dan memperhambakan rakyat yang tidak terbunuh di mana sahaja apabila mereka menang dalam peperangan yang sangat ganas. Kini campur tangan mereka terhadap negara yang lemah itu memakan korban rakyat yang lebih besar berkali ganda daripada kematian bala tentera mereka yang menceroboh.

Mereka juga menaja Taliban di Afghanistan dengan membekalkan senjata melalui negara-negara Arab yang ditubuhkan dahulu berkiblat kepada Barat. Perkataan Taliban itu dalam bahasa Pashto bermakna pelajar-pelajar agama yang masih mentah kefahamannya berkenaan Islam yang digunakan untuk menghalang kumpulan mujahidin yang terpelajar memerintah negara setelah berjaya mengalahkan tentera Soviet dahulu. Tindakan dilakukan kerana takutkan pengaruh Islam yang sebenarnya kembali semula ke persada dunia yang dibimbangkan kalahnya pengaruh Barat yang sedang merudum.

Mereka juga dalang di sebalik penubuhan ISIS yang digunakan untuk mencetuskan perang saudara di beberapa negara Arab sekarang, demi memusnahkan umat Islam dari dalam dan berniaga senjata serta mengujinya dengan menjadikan umat Islam laksana tikus untuk dilakukan ujian, menggunakan umat Islam sendiri dan mengambil harta kekayaan bumi umat Islam secara halus dan licik.

Semua negara umat Islam yang memenangkan kumpulan Islam secara demokrasi yang matang dihalang dan dijatuhkan, seperti pernah membatalkan kemenangan Parti Masyumi di Indonesia dahulu, kemenangan kumpulan Islam di Algeria dan kemenangan Parti Islam di Mesir.

Begitu juga kemenangan Revolusi Islam di Iran dihinakan dengan mengapikan kebencian kerana perbezaan mazhab, lalu dicetuskan Perang Teluk yang bersiri. Mereka juga berusaha melakukan rampasan kuasa di Turki untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Parti AK kerana perubahan sekular kepada Islam secara berperingkat. Semua itu adalah langkah menentang Islam yang ditaja oleh mereka yang mencetuskan ideologi Islamofobia.

Malaysia juga hendak dimangsakan kerana anti Israel, maka dikempenkan terhadap minyak sawit yang menjadi sumber ekonomi negara ini.

Kumpulan anti Islam ditubuhkan di Malaysia, sama ada secara agenda tersembunyi melalui NGO yang menggunakan jenama Islam secara tiruan dan menyokong LGBT yang tidak bermoral luhur di atas nama kebebasan kebinatangan bukannya kemanusiaan, atau parti-parti politik yang tidak boleh menyembunyikan permusuhannya terhadap Islam sehingga menentang segala usaha menyatukan umat Islam dengan dilabelkan seperti wajah Taliban.

Lebih teruk lagi apabila jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap penganut Islam yang menunaikan solat Jumaat di New Zealand dijadikan hujah bagi memburukkan kesatuan umat Islam, walaupun ternyata pembunuhnya bukan Islam, tiba-tiba dikaitkan dengan salahnya langkah berbaik dalam kalangan parti umat Islam, kemudian dikatakan terlajak cakap. Pepatah Melayu menyebut terlajak perahu boleh berundur, terlajak cakap berundurnya tidak menjadi seperti terlajak perahu atau kereta.

Al-Quran telah memberitahu sejak empat belas abad yang lalu:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ (118) هَا أَنتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (119) إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ (120)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu berakal bijak (mahu memahaminya). (118) Awaslah! kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. (119); Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan”. (120) (Surah Ali ‘Imraan: 118-120)

Maka ternyata benarnya Al-Quran mendedahkan adanya kumpulan yang mahu bermusuh terhadap Islam dan penganutnya, sama ada yang nyata kafir harbinya atau munafik bersekongkol bersamanya. Namun, masih ramai yang bersimpati terhadap Islam dan ada yang insaf setelah mengkaji.

Kini Islamofobia gagal menembusi Islam, sebaliknya senjata ini memakan tuan apabila ternyata yang ganas itu bukan Islam. Ada yang bertindak mendedahkan ideologinya yang disembunyikan, ada juga kalangan mereka mengkaji Islam melalui terjemahan Al-Quran dan buku-buku Islam, lalu meninggalkan agamanya kerana masuk Islam. Termasuklah juga orang-orang Islam yang menjadi mangsa peperangan yang dicetuskan di negara umat Islam terpaksa berhijrah menjadi pelarian di negara-negara Barat yang mencipta ideologi tersebut, tiba-tiba menjadi sebab berkembangnya Islam dalam kalangan bukan Islam yang insaf menyaksikan kezaliman terhadap Islam dan penganutnya.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 11 Rejab 1440 / 18 Mac 2019