Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Edaran Topeng Muka Gelombang Ke-2 DMPM

295 views
SHARE

Edaran Topeng Muka Gelombang Ke-2

Pasir Gudang, Johor : Setelah hampir 2 minggu Pasir Gudang diuji dengan bencana pencemaran toksik berbahaya, hospital dan Stadium Tertutup Pasir Gudang masih sibuk dengan petugas-petugas perubatan, jabatan penyelamat, sukarelawan, Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat dan ramai lagi. Bahkan pesakit-pesakit dan mangsa-mangsa yang terdedah dengan gas beracun di kawasan sekitar yang terjejas masih berada di dalam wad yang disediakan dan terdapat juga pesakit baru yang dilaporkan.

Di sebalik tragedi ini, Allah sedang memperlihatkan kepada kita semua bahawa di Malaysia ini terdapat ramai rakyat yang kaya jiwanya dengan sifat ihsan dan prihatin sesama manusia.

Daripada hari pertama tabung kecemasan memohon sumbangan untuk membantu mangsa di Pasir Gudang dilancarkan oleh pihak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) sehinggalah ke hari ini, pihak LKK DMPM masih lagi dihujani mesej dan menerima sumbangan yang tidak putus-putus daripada orang ramai.

Pihak LKK DMPM semalam telah turun padang buat kali kedua bagi mengedarkan topeng muka kepada penduduk di Flat Jalan Pelanduk, Taman Scientex dan di kedai-kedai sekitar Pasir Gudang.

Puan Roslita Rohani selaku ahli jawatankuasa (AJK) LKK Badan Perhubungan PAS Negeri (BPPN) Johor mewakili LKK DMPM telah mengetuai edaran tersebut. Turut hadir Ustaz Rosli Bin Jaabar selaku YB Tanjung Lumpur, En Ab. Aziz Abdullah selaku Pengerusi Pusat Aduan Rakyat (PAR) Johor merangkap Setiausaha Khidmat Malaysia Johor, Puan Rohaiza Bt M. Razali selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Tebrau, AJK DMPK Pasir Gudang dan Tebrau, Jabatan Amal Malaysia dan AJK Khidmat Malaysia Johor.

Selepas selesai edaran topeng muka, rombongan sempat menziarahi dua buah keluarga yang mana kedua-dua keluarga ini mempunyai anak OKU.

Sedikit sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan dapur telah disampaikan kepada kedua-dua keluarga tersebut dengan harapan dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka.