Home Berita PAS Melaka

Islam mengajar manusia kitaran turun naik ekonomi dalam kisah Nabi Yusuf A.S

157
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 12 Mei: Islam telah mengajar tentang kitaran ekonomi melalui kisah bagaimana Nabi Yusuf mentafsir mimpi Raja Mesir ketika itu yang dirakamkan di dalam Al Quran 1400 tahun dahulu, kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Soha Barakah Wealth Consultancy Sdn Bhd, Hawa Yaakub.

Menurut beliau, dalam peristiwa itu, Nabi Yusuf A.S mentafsir bahawa akan berlaku tujuh tahun yang subur diikuti oleh tujuh tahun yang kemarau dan menyarankan agar kerajaan pada masa itu menyimpan ketika waktu subur untuk tahun-tahun kemarau.

Ini, kata beliau, adalah ibrah bahawa setiap manusia harus membuat persediaan untuk menghadapi saat-saat sukar dengan menyimpan dan berjimat cermat.

“Semasa senang tu kita memang kena simpan. Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara, kaya sebelum miskin; sihat sebelum sakit; hidup sebelum mati, lima perkara tu,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian di dalam program bual bicara ‘Biz Malaysia’ bertajuk ‘Pokai Selepas Raya’ yang disiarkan di TV1 jam 2.30 petang pada Rabu yang membincangkan tentang isu pengurusan kewangan rakyat yang menghadapi masalah kehabisan wang akibat berbelanja berlebihan untuk hari raya.



“Kita perlu kembali kepada peraturan asas, iaitu ukur baju di badan sendiri. Kita perlu ada aliran tunai setiap bulan supaya kita tahu perbelanjaan tidak melebihi pendapatan kita. Dan ada lebihan untuk disimpan,” ujar beliau lagi.

Tambah Hawa, sekiranya seseorang itu mendapati pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi, mereka disaran agar membuat kerja sampingan seperti menjadi penunggang atau pemandu Grab.

“Saya kenal seorang ni dia buat ‘part time’, bawa Grab, dia boleh dapat pendapatan dua ke tiga ribu (Ringgit) sebulan. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, kegagalan dalam memahami maksud Aidilfitri sebenarnya antara punca mengapa ramai umat Islam yang berbelanja secara boros untuk menyambutnya.

Aidilfitri, menurut beliau bermaksud kembali kepada fitrah sebagai lambang kejayaan dalam melawan hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.

“Sepatutnya kita boleh kawal nafsu kita daripada berbelanja lebih. Tapi kalau dah kita membazir, dan dalam Islam membazir itu saudara syaitan, dah terbalik pula daripada kembali kepada fitrah.

“Dan sebenarnya Aidilfitri itu ialah masa untuk kita membesarkan Allah SWT. Sebab itu kita disunatkan untuk bertakbir sebanyak-banyaknya pada malam raya dan pagi raya,” ujar Hawa.

Tambah beliau lagi ada beberapa tanda yang boleh dijadikan indikator yang menilai samada tahap kewangan seseorang itu berada pada tahap yang sihat atau pun tidak.

“Yang pertama, kita perlu lihat berapa jumlah simpanan yang kita boleh buat setiap bulan berbanding pendapatan kita. Nisbah simpanan yang sihat ialah 20 peratus ke atas.

“Maksudnya kalau kita boleh simpan 20 peratus daripada gaji kita maka kewangan kita sihat. Jika kita tidak dapat simpan sekurang-kurangnya 20 peratus maknanya itu tanda kewangan kita kurang sihat,” ujar beliau.

Selain itu, katanya lagi, seseorang itu perlu mempunyai dana kecemasan yang mampu menampung perbelanjaan untuk enam bulan; jumlah hutang perlu di bawah 50 peratus daripada jumlah aset dan nilai aset cair perlu melebihi 50 peratus daripada jumlah aset.