Home Minda Presiden

Islam dimusuhi, Israel diselamatkan

317
SHARE


Minda Presiden PAS

ISLAM DIMUSUHI, ISRAEL DISELAMATKAN


Seluruh dunia menyaksikan drama dan lakonan mereka yang berjuang demi mengembalikan perdamaian, khususnya terhadap krisis yang berlaku di rantau Asia Barat atau Timur Tengah yang paling bergolak.

Pelakon paling utama ialah negara Barat dan sekutunya. Adapun negara di sekitar Timur Tengah, khususnya negara Arab, sangat bergantung kepada negara Barat laksana talian hayat. Walaupun mereka sekadar menjadi pelakon tambahan sahaja, namun sebenarnya mereka itulah yang menjadi mangsa utama.

Sekiranya dibaca lakonan awal, kita tidak akan melupakan sejarah penubuhan negara haram Israel yang dilakukan selepas pemeteraian Perjanjian Balfour yang menjanjikan negara kepada kumpulan Zionis Yahudi. Perjanjian tersebut pula berkembar dengan Perjanjian Sykes-Picot yang menanti kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada abad yang lalu, untuk dibahagikan wilayahnya laksana harta pusaka milik mereka.

Kini sudah genap seratus tahun atau satu abad semenjak permulaan berlakunya peristiwa itu. Walaupun sengaja ditutup kejahatan yang dilakukan, ia hanyalah laksana menutup bangkai gajah dengan tapak tangan yang kecil.

Negara yang dilantik menjadi hero utama dalam lakonan perdamaian itu ialah negara yang paling banyak terlibat dalam menubuhkan negara haram Israel. Adapun mereka yang mendapat habuan daripada Perjanjian Sykes-Picot sekadar menjadi khadam sahaja.

Walaupun mereka memperolehi jawatan yang paling tinggi dan berkuasa di negara masing-masing, malangnya negara Arab menjadikan tarikh pembentukan negara haram Israel sebagai hari kebangsaan yang disambut dengan meriah. Adapun negara yang mempunyai banyak hasil minyak pula menjadi laksana lembu susu yang diperah untuk memenuhi kemahuan tuannya.

Negara haram Israel yang ditubuhkan itu dijaga habis-habisan sejak awal lagi, sehingga mereka terpelihara daripada apa-apa hukuman oleh undang-undang antarabangsa yang sangat lemah laksana sarang labah-labah hanya menangkap serangga kecil dan lemah. Adapun helang yang besar, berlalu pergi dan terus bebas. Setiap keputusan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi ancaman kepada Israel akan dikenakan kuasa veto oleh heronya, maka Israel tetap akan diselamatkan.

Walaupun peta negara haram itu sangat kecil, hanya sekangkang kera sahaja dan penduduknya tidak ramai. Namun, slogan negara haram itu sangat besar iaitu ke arah pembentukan Negara Agung Israel bermula dari Lembah Nil sehingga Sungai Euphrates dan dari laut ke laut.

Di sebalik itu, tersembunyi gerakan Zionis yang memberikan tajaan bagi menjayakan agenda Zionis Yahudi. Sehingga mereka dapat menguasai Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta syarikat media yang paling berpengaruh dan meluas, khususnya media terkini. Mereka juga telah menyiarkan berita bahawa gerakan Zionis menjadi pendukung kepada parti dan calon ketua kerajaan tersebut dalam setiap kempen Pilihan Raya Umum.

Pada masa yang sama, negara haram Israel dibekalkan dengan segala persenjataan yang paling canggih. Termasuklah senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa dan Israel sama sekali tidak terikat dengan sebarang perjanijan.

Adapun senjata yang dibekalkan kepada negara-negara Arab sekadar untuk mempertahankan diri masing-masing. Negara Arab hanya dibenarkan berada di tempat masing-masing dan tidak boleh keluar melangkaui jarak sempadan kerana boleh menjadi ancaman kepada Israel.

Selain itu, senjata yang dibekalkan hanyalah untuk melaksanakan perang saudara atau menjaga telaga minyak dan laluannya sahaja. Syarat wajibnya ialah mereka sekali-kali tidak boleh mengatasi kekuatan Israel yang wajib dijaga keamanannya. Di samping wujudnya pangkalan-pangkalan tentera di negara yang menjadi hero dalam lakonan perdamaian tersebut.

Semua negara Islam diharamkan daripada mencapai kemajuan teknologi yang tinggi, walaupun mereka mempunyai kemampuan dari sudut kewangan dan kepakaran. Sekalipun kemajuan tersebut bukanlah bertujuan untuk persenjataan, ia mesti dihalang demi menyelamatkan negara haram Israel.

Negara haram Israel yang ditubuhkan itu diiktiraf sebagai sah, walaupun Zionis Yahudi telah bertindak merampas tanah daripada penduduk asal yang dihalau keluar dengan paksaan yang sangat zalim sejak dahulu sehingga kini. Sebaliknya penduduk asal Palestin sekali lagi dipaksa dengan berbagai-bagai tawaran yang mewah dan dipujuk oleh jiran mereka yang kaya. Tindakan tersebut sangat mengecewakan dan langsung tidak berperikemanusiaan semata-mata untuk menyelamatkan Israel.

Penduduk Palestin tidak pernah menyerah kalah, bahkan kebangkitan mereka menjadi semakin kuat. Sekali gus membuktikan benarnya sabda Rasulullah SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّيْنِ ظَاهِرِيْنَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِيْنَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ. وَهُمْ كَذَلِكَ”، قالوا: “يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟” قال: “بِبِيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ”.

“Masih ada sebahagian daripada kalangan umatku satu kumpulan yang terus menegakkan kebenaran, mereka dengan gagah perkasa menghadapi musuh, sehingga tidak boleh dimudaratkan oleh orang yang menentang (atau mengecewakan), melainkan sekadar kumpulan itu menghadapi kesulitan, sehingga datangnya urusan Allah (memenangkan mereka), mereka terus tidak berganjak. Lalu mereka bertanyakan Rasulullah SAW: “Di manakah mereka itu?” Sabda Rasulullah SAW: “Di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.” (Riwayat Ahmad 22320)

Hari ini kita menyaksikan betapa lakonan perdamaian semata-mata untuk menyelamatkan negara haram Israel, terus berlangsung dengan sedemikian rupa. Antaranya ialah dengan menyekat setiap laluan yang membantu perjuangan Palestin. Semua negara yang terlibat menjadi saluran bagi membantu Palestin akan dikacau dengan pelbagai cara.

Apa yang menjadi pertimbangan kepada Barat bukanlah disebabkan faktor ideologi, mazhab atau kaum tertentu. Sebenarnya, mana-mana pihak yang menjadi ancaman kepada Israel mesti dihapuskan.

Kita baru sahaja menyaksikan Arab Spring (musim bunga) yang tidak sempat berbuah, kemudian ditukar kepada perang proksi yang berlaku di Syria, Libya, Yaman dan negara-negara lain. Perang berjaya dicetuskan di setiap negara yang terlibat menjadi laluan bagi membantu Palestin. Bahkan, perang proksi dicetuskan atas semangat mazhab, fanatik kaum, krisis sempadan atau demokrasi. Semua itu adalah peta lakonan bagi menyelamatkan Israel, bukanlah untuk membela umat Islam mahupun masyarakat Arab.

Terkini pula, mereka gelabah dengan kemajuan teknologi tinggi yang dicapai oleh Iran dan Turki. Kedua-dua buah negara yang sedang bangkit menjadi kuasa besar dunia yang berpihak kepada Palestin. Kempen hangat sedang berlangsung bagi menggagalkan kebangkitan kedua-dua buah negara Islam tersebut.

Sasaran kempen Barat ialah umat Islam, khususnya mereka dalam kalangan agamawan dan ahli politik yang berpengaruh. Hal tersebut penting supaya mereka boleh dipergunakan dengan pelbagai cara dan pendekatan, tanpa disedari akan diri mereka yang jahil murakkab atau diberikan umpan yang lumayan.

Alasannya ialah dengan mengatakan Mazhab Syiah yang menjadi pegangan Iran itu tidak layak disokong oleh Sunni, manakala Turki dengan alasan bimbang akan kembali menjadi penjajah ‘Uthmaniyah yang mengancam keamanan dunia. Sekali gus kedua-dua buah negara tersebut tidak dilayak mendapat sokongan negara Islam, khususnya negara Arab yang menjadi imam bagi Sunni dan bangsa Nabi Muhammad SAW yang selama-lamanya layak menjadi Khalifah.

Sebenarnya semua itu adalah lakonan filem lama dalam bentuk hitam putih yang diperbaharui menjadi filem warna-warni, dan merupakan perancangan dalam melakar peta baharu yang perlu diubah. Sebahagiannya gagal menyekat kebangkitan semula untuk kembali kepada Islam. Maka, seterusnya perancangan Barat diatur secara berhadapan atau secara halus.

Secara nyata berhadapan, antara yang diaturkan ialah Perang Afghanistan, Perang Teluk, Perang Syria, Perang Libya, Perang Yaman dan peperangan lain di rantau Timur Tengah. Semua peperangan itu adalah penentangan secara berhadapan.

Sehingga kini perang tersebut belum selesai, walaupun ramai bala tentera yang telah dikerahkan. Mereka juga berjaya menyusup ke dalam negara umat Islam dengan kerahan tentera selepas diwujudkan pangkalannya bersama anggota perisikan.

Begitu juga, dilaksanakan perang propaganda yang menyusup masuk ke dalam rakyat dengan mencetuskan masalah dalam umat Islam sendiri, apabila membangkitkan isu etnik dan mazhab. Selain itu, mereka berjaya mewujudkan puak pelampau yang dipersenjatakan atas nama jihad tanpa tafaqquh (memahami) ajaran agama Islam dan adab-adabnya.

Mereka langsung tidak peduli kepada ribuan atau jutaan rakyat yang mati atau menderita akibat daripada peperangan, kerana yang terpenting ialah menyelamatkan negara haram Israel. Maka, mereka yang berjihad bersedia untuk mengebom masjid, pasar dan tempat awam, bukan sekadar hotel-hotel di negara Islam. Alasannya ialah untuk menentang maksiat, kekufuran dan bid‘ah. Bukannya hendak menyasarkan Israel dengan pengeboman kerana alasan negara haram itu wajib diselamatkan.

Adapun perancangan Barat secara halus ialah mengadakan usaha perdamaian yang terancang dengan mewujudkan kalangan mereka yang boleh dihubungi dan dipujuk, kerana bersikap sederhana, liberal, menganut fahaman Islam sekular yang tidak jumud atau tidak fanatik pegangan agamanya. Segala perancangan tersebut laksana ubat penahan sakit sementara waktu, bagi memberikan peluang kepada Israel bernafas lagi untuk membina kekuatan yang sentiasa dibekalkan pernafasannya.

Walau bagaimanapun, bagi umat Islam terdapat janji Allah SWT yang akan meneruskan cahaya kemenangan Islam. Sebagaimana firman-Nya:

﴿…وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾

“…Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)

Sejarah tetap berulang selepas kejatuhan Kota Baghdad dan kemusnahannya dilakukan oleh kaum Tatar yang paling ganas. Allah SWT menyelamatkan Islam dengan lahirnya Sultan Zahir Baybars daripada bangsa Turki yang memerintah Mesir. Pemerintah yang berjaya membangkitkan rakyat dengan slogan ‘Wa Islamah’ (selamatkan Islam yang tersayang) setelah berjaya menyatukan umat Islam daripada berbagai bangsa dan mazhab.

Selepas kejatuhan Baitul Maqdis selama hampir satu abad, Allah SWT menggerakkan kebangkitan Islam bersama Sultan Salahuddin al-Ayyubi daripada bangsa Kurdi. Baginda juga telah berjaya menyatukan umat Islam daripada pelbagai bangsa dan mazhab, termasuklah mazhab yang sesat melalui penyelesaian secara dalaman, bukan secara peperangan. Maka perang berjaya dihadapkan secara satu hala bagi menghadapi musuh luar sahaja.

Benarlah kata Khalifah ‘Umar bin al- Khattab RA:

نَحنُ قَوْمٌ ‌أَعَزَّنَا ‌اللهُ ‌بِالإِسْلَامِ، فَمَهمَا ابتَغَينَا العِزَّةَ بِغَيرِهِ أَذَلَّنَا اللهُ.

“Kita adalah kaum yang diperkasakan bersama Islam. Maka, sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam yang dikurniakan oleh Allah, nescaya akan mendapat hukuman penghinaan daripada Allah.” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, jld. 1, ms. 236-237)

Percayalah bahawa sesungguhnya drama dan filem yang ditayangkan sekarang pasti akan tamat, apabila heronya sudah mati. Akan tetapi, Islam sekali-kali tidak akan mati dengan kematian pendukungnya, kerana Allah SWT berfirman:

﴿مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا٢٣﴾

“Antara orang yang beriman itu, ada dalam kalangan mereka yang bersikap benar dengan menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka dalam kalangan mereka ada yang telah sempurna menunaikan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan ada juga dalam kalangan mereka yang menunggu giliran (untuk syahid); dan mereka pula sekali-kali tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) walau sedikitpun.” (Surah al-Ahzab: 23)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 5 Ramadhan 1442 / 17 April 2021