Home Artikel PAS Wilayah

Isi rumah B40 Parlimen Batu mula terima beras percuma

232
SHARE

Oleh: Maizatul Asida
17 Februari 2021

BATU : Program agihan beras percuma kepada golongan B40 Parlimen Batu telah bermula di beberapa buah lokasi dalam parlimen itu, baru-baru ini.

Antara lokasi yang terlibat dalam program agihan MyBeras@Wilayah kali ini ialah Bandar Baru Sentul, Taman Dato’ Senu, PPR Pekan Batu, Kampung Batu Muda dan PPR Taman Wahyu.

Terdahulu, inisiatif MyBeras@Wilayah telah dilancarkan pada 1 Februari 2021 bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin.

Melalui program ini, penduduk dari kumpulan B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menerima 5,750 kampit beras secara percuma setiap minggu.

Hadir di lokasi yang ditetapkan untuk menyampaikan sumbangan beras percuma ini adalah Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya DBKL yang juga Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah Dan Wanita Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Azhar Yahya.

Selain dari beras percuma, Ustaz Azhar turut menyampaikan sumbangan baucer buku bernilai RM50 kepada para penerima yang layak.

Beliau juga sempat menitipkan kata-kata semangat kepada para pelajar yang menerima baucer buku ini agar terus bersungguh-sungguh menuntut ilmu walaupun menghadapi kesukaran ekoran pandemik Covid-19 ini.

Hadir sama semasa sesi agihan tersebut adalah wakil MPP bagi setiap sub zon yang terlibat antaranya Pengerusi MPP Sub Zon 1, Shamsuddin Yaacob, Pengerusi MPP Sub Zon 2, Abu Bakar Abd Rahman, Pengerusi MPP Sub Zon 3, Hishamuddin Ghazali dan ahli jawatankuasa.

Selain itu, Ketua Cawangan PAS PPR Taman Wahyu, Ustaz Mokhtar Mohd Isa dan Pengerusi Penduduk PPR Pekan Batu, Sohari Miswan turut turun padang menjayakan program ini.