Home Berita PAS Melaka

Iqtisad rakyat : Peranan masjid dalam pembangunan ekonomi umat Islam – Siri-2

1567
SHARE

BERSUA kita lagi dalam siri Iqtisad Rakyat. Pada kali ini penulis akan menyambung tentang tajuk peranan masjid dalam pembangunanan ekonomi umat Islam serta berkongsi dan menerangkan tentang bagaimana kewangan atau dana masjid dapat dipertingkatkan untuk kemaslahatan penduduk atau ahli kariah sesuatu tempat di samping meneruskan program-program pengimarahan masjid secara berterusan.

Mengikut statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, sehingga 30 Ogos 2020 terdapat kira-kira 6,207 masjid di seluruh negara. Bilangan itu meliputi semua masjid-masjid yang dikategorikan sebagai masjid kerajaan, negeri, daerah dan mukim. Di Melaka saja terdapat lapan buah masjid berstatus kerajaan, dua buah berstatus negeri dan 184 buah berstatus mukim dengan jumlah keseluruhan sebanyak 194 buah masjid.

Secara tradisinya, kewangan masjid diperolehi melalui peruntukan dari jabatan agama negeri-negeri, sumbangan orang ramai dan tabung infaq seperti skim khairat kematian. Perbelanjaan masjid pula adalah untuk kegunaan program–program kuliah agama, bil utiliti, elaun pegawai syarak dan petugas masjid, kecerian masjid, bantuan kebajikan kepada ahli kariah, urusan kematian dan lain-lain urusan yang berkaitan.

Menyingkap sirah Nabi Muhammad SAW semasa pembinaan masjid yang pertama di Bandar Madinah iaitu Masjid Nabawi, perkara pertama yang baginda buat adalah mendirikan atau membina pasar. Tujuannya ialah untuk menyediakan ruang bagi umat Islam serta masyarakat Madinah ketika itu untuk menjalankan aktiviti muamalah mereka. Di kala itu, perniagaan di Madinah dikuasai oleh orang Yahudi terutamanya dari golongan Bani Qainuqa’.

نِعْمَ سُوقُكُمْ فَلَا يَنْتَقِضُ ، وَلَا يُضْرَبَنَّ عَلَيْهِ خَرَاجٌ ” .
“Inilah sebaik-baik pasar kamu. Ia tidak akan terbubar dan tidak dikenakan ke atasnya sebarang cukai.”

Hadis riwayat Ibnu Majah

Di negara kita ini, di antara usaha yang boleh dan sedang dilakukan bagi mempertingkatkan ekonomi masjid adalah dengan menubuhkan koperasi kariah masjid. Menurut sumber dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia, sehingga bulan Disember 2019, terdapat sejumlah 446 buah Koperasi Kariah Masjid yang didaftarkan dengan keahlian seramai 30,515 ahli, serta mencatatkan pendapatan RM15.37 juta. Daripada jumlah itu 300 adalah koperasi aktif, 69 koperasi tidak aktif dan 77 koperasi dorman.

Di antara aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan melalui koperasi masjid ini adalah seperti peruncitan khususnya produk-produk halal keluaran bumiputera, kelas-kelas mengaji quran, kelas tuisyen, perkhidmatan pakej umrah, penjualan barang-barang keperluan haji dan umrah, kelas-kelas bimbingan atau motivasi, perkhidmatan takaful serta lain-lain perkhidmatan yang bersesuaian. Menurut laporan dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia, ada di antara koperasi masjid itu yang berjaya mencatat perolehan mencecah RM1 juta melalui urusniaga-urusniaga yang dijalankan.

Sebenarnya, jumlah 446 buah koperasi yang telah didaftarkan ini adalah merupakan angka yang masih terlalu kecil iaitu iaitu sekitar tujuh peratus sahaja dari jumlah keseluruhan masjid yang berjumlah 6,207 buah itu. Suruhanjaya Koperasi dan masjid-masjid boleh sama-sama mengambil inisiatif untuk menambahkan bilangan ini dan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus, iaitu kira-kira 1,800 buah koperasi masjid untuk tempoh satu ke dua tahun akan datang. Satu program seperti ‘mentor-menti’ boleh dikendalikan dengan penglibatan koperasi-koperasi masjid yang besar dan telah berjaya bagi membimbing koperasi yang baru ditubuhkan.

Syarat penubuhan koperasi adalah sangat mudah dengan pihak masjid cuma perlu mendaftarkan 50 orang ahli baru yang berminat sebagai permulaan dan sesudah diluluskan pendaftaran bolehlah dibuka keahlian kepada anggota masyarakat yang lain dengan jumlah pelaburan minimum setiap ahli bagi menggalakkan anggota kariah untuk menyertai dan sama-sama menbantu perjalanan serta urusniaga koperasi.

Kejayaan sesebuah koperasi sudah tentu bergantung kepada penglibatan secara aktif di antara pihak pentadbiran dan juga ahli-ahli di samping masyarakat sekeliling. Bidang-bidang perniagaan yang ingin diceburi mestilah yang merupakan keperluan semasa dan mempunyai kitaran penggunaan yang tinggi. Urusniaga bermusim juga adalah faktor-faktor penyumbang seperti jualan kurma di bulan Ramadan. Penulis sendiri pernah menjual hampir 4,000 kotak kurma di bulan Ramadan dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Selain dari penubuhan koperasi masjid, antara kegiatan yang boleh dijalankan khususnya bagi masjid-masjid yang mempunyai kawasan tanah wakaf yang luas ialah seperti program bazar Jumaat, bazar Ramadan, lot-lot kedai masjid, kiosk makanan dan minuman, pusat cucian kenderaan, klinik masjid, penyewaan dewan dan penganjuran kursus-kursus berbayar.

Masjid juga boleh turut terlibat dalam aktiviti pelaburan aset seperti sewaan bangunan, rumah sewa, homestay dan juga peralatan untuk kegunaan majlis perkahwinan atau kenduri-kendara. Ini semua di antara aktiviti-aktiviti yang mempunyai nilai ekonomi serta dapat menyumbang kepada penambahan pendapatan atau kewangan masjid.

Bagi masjid-masjid yang mempunyai kedudukan yang hampir dengan taman-taman serta kawasan yang menjadi tumpuan pelancong, boleh juga mencari dan menyewa beberapa buah rumah atau rumah kedai di dalam taman tersebut untuk dijadikan sebagai homestay atau asrama pekerja. Bagi masjid-masjid yang mempunyai kemudahan seperti dewan atau bilik kuliah, ianya boleh digunakan semaksima mungkin untuk menambah perolehan dengan membuka kepada pihak-pihak luar untuk menganjurkan seminar atau kursus-kursus.

Peranan dan penglibatan aktif semua pihak yang berkenaan akan dapat mencetuskan fenomena baru dalam merancakkan fungsi masjid. Masjid tidak hanya terhad untuk skop ibadah berbentuk spiritual sahaja namun lebih besar dari itu sebagai sumber atau pusat peradaban manusia dan tempat berteduh bagi masyarakat yang memerlukan.

Akhir kata bertepatan dengan tarikh keramat 31 Ogos 2020 ini, penulis ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-63 untuk rakyat Malaysia walau di mana sahaja kita berada. Marilah kita bersama untuk bersatu atas kesedaran serta membaiki kesilapan lalu. Bersatu tanpa kesedaran tidak akan membuahkan keinsafan yang jitu serta bertahan lama.

Belajarlah untuk bermuhasabah serta membuat koreksi diri kita semua. Insya-Allah masa depan dan kegemilangan negara tercinta ini terletak di atas bahu kita semua. Ingatlah bahawa rakyat itu mengikut agama pemimpin mereka. Jika baik kepimpinan mereka maka baiklah rakyatnya dan begitulah sebaliknya. Sayangilah negara kita ini.

Di atas runtuhan kota Melaka, kita bina negara Malaysia yang makmur dan sejahtera.

Moga bertemu di siri yang akan datang

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam
#MalaysiaPrihatin

HJ RAFIE HJ AHMAD
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Tangga Batu


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)