Home Berita PAS Melaka

Insiden hina Islam di kelab komedi – ketatkan peraturan aktiviti pusat hiburan – Hawa Yaakub

288
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 15 Jul : Pihak berkuasa digesa agar mengetatkan peraturan berkaitan pusat hiburan yang memang terang dan nyata membenarkan aktiviti-aktiviti yang melampaui batas seperti mempersendakan agama Islam.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM), Hawa Yaakub, kerajaan harus mengenakan tindakan tegas dengan menarik balik lesen mereka sekiranya perkara itu berlaku.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejadian seorang wanita, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang membuat persembahan pentas komediri menghina Islam di mana videonya tular di media-media sosial sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Tambah Hawa lagi, kerajaan juga perlu mewujudkan ‘Dasar Pakaian Negara’ yang menggariskan tatacara berpakaian kepada semua rakyat dan orang asing di Malaysia agar sentiasa sopan dan tidak menjolok mata di semua tempat dalam negara.

Foto tangkap layar video yang tular

“Semua rakyat dan orang asing perlu menghormati agama Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan,” ujarnya.

Beliau yang menzahirkan rasa kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh wanita ini, berpandangan bahawa dalam dunia yang semakin menghampiri pengakhirannya sesiapa jua pun terdedah dan berisiko untuk terjerumus ke lembah maksiat.

“Ada orang beriman pada pagi hari dan kufur pada petangnya dan begitu juga sebaliknya. Yang penting, kita perlu sentiasa berdoa agar Allah sentiasa mengurniakan kita semua taufik dan hidayah-Nya agar kita tetap berada pada jalan yang lurus.

“Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud pada akhir zaman, berpegang kepada agama akan menjadi terlalu sukar seperti menggenggam bara api. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW juga telah memberitahu kita bahawa Islam itu akan menjadi asing pada akhir zaman, sebagaimana ia asing semasa kedatangannya,” ujarnya.

Hasmira ketika dibawa ke mahkamah untuk didakwa (kredit foto Google)

Siti Nuramira telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

Mengikut pertuduhan, Siti Nuramira didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields pada 4 Jun lalu, jam 6 petang.

Sementara itu, pelawak Rizal van Geyzel yang merupakan pengasas bersama Crackhouse Comedy Club juga telah ditahan bagi membantu siasatan berkait tiga video yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama dan dijangka akan didakwa di mahkamah.

Beberapa video dan imej berkaitan Rizal van Geyzel yang menimbulkan kemarahan umat Islam :