Oleh : Abu Hadif
JOHOR BAHRU, 12 Ogos : “Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama.”
Demikian titah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, pagi ini di majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke 14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Baginda turut bertitah menegaskan bahawa baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan Baginda sekarang.
“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.
“Apabila wabak Covid-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu. Selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah Baginda Tuanku Sultan.
Baginda Tuanku Sultan turut bertitah menasihatkan semua Adun supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.
Baginda turut mengingatkan semua Adun untuk tidak berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan dikala rakyat di luar sana sedang mengalami kesukaran berjuang untuk kelangsungan kehidupan seharian dan kesihatan dalam menghadapi wabak pandemik Covid-19.
“Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” titah Baginda.
Terdahulu, DYMM Sultan Johor telah berkenan berangkat ke majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke 14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru yang berlangsung pada hari ini.
Berangkat sama Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, dan YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
DYMM Sultan Johor turut bertitah, mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.
“Jangan cemarkan dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.
“Ingat pesanan saya tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai mengganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” titah Baginda Tuanku Sultan, dalam hantaran di halaman rasmi Facebook Baginda.