Home Rencana PAS Selangor

Ini bukan masanya menukar nakhoda – Setiausaha BPPN Selangor

18
SHARE

May be an image of 2 people and people sitting

Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor

PAS akan mengadakan Muktamar Tahunannya kali ke 67 pada 6 dan 7 November ini di Kuala Terengganu. Muktamar Tahunan PAS adalah medan berhimpunnya pimpinan PAS dari berbagai peringkat kawasan-kawasan, negeri-negeri dan Pusat untuk berbincang dan mengaturkan halatuju dan dasar parti menuju setahun berikutnya selain mengkaji prestasinya untuk setahun yang lampau.

Dalam Muktamar Tahunannya Presiden parti akan membentangkan ucapan dasarnya untuk dibahas dan diluluskan oleh para perwakilan.

Tahun ini adalah tahun pemilihan dalam PAS bermula dari peringkat cawangan-cawangan hinggalah ke kawasan-kawasan dan berakhir diperingkat pusat. Para perwakilan PAS akan memilih pemimpin mereka untuk memimpin parti Islam ini bagi tempuh 2021-2023.

Apabila sahaja berlaku pemilihan dalam parti, tidak kiralah samada PAS atau parti-parti lain, sudah pasti ramai yang akan memberi tumpuan bukan sekadar ahli dan penyokong parti malah para pemerhati dan penganalisa politik turut memberi perhatian tambahan PAS hari ini adalah sebahagian dari parti pemerintah di peringkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri termasuklah di Sabah.

Hari Ahad baru ini penganalisa politik veteran Joceline Tan telah menyentuh berkenaan Muktamar PAS yang bakal menjelang dalam ruangannya di akhbar The Sunday Star.

Beliau yang saya kenali telah mengikuti perkembangan dalam PAS sejak sekian lama dan beliau antara para penaganlisa politik yang cukup mengenali PAS walaupun beliau bukan seorang Muslim.

Dalam ruangannya kali ini Joceline menganggap segala persepsi negatif para pengkritik terhadap kebolehan dan kemampuan Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sesungguhnya tersasar kerana terbukti Tuan Guru adalah antara Presiden PAS yang paling berjaya kerana mampu mengemudi parti ini hinggalah ke Putrajaya.

Saya sendiri bersetuju dengan pandangan beliau kerana hakikatnya di bawah Tuan Guru PAS hari ini diwakili oleh tiga Menteri Besar, tiga Menteri kabinet dan lima Timbalan Menteri. Dan malah bagi saya kemuncak pencapaian PAS adalah apabila portfolio hal ehwal Agama kini dikuasai oleh Menteri dan Timbalan Menteri dari PAS.

Lantas Muktamar PAS kali ini tidak keterlaluan dikatakan sebagai medan yang sepatutnya meraikan kejayaan dan pencapaian besar PAS di bawah kepimpinan Tuan Guru.

Walaubagaimanapun mungkin pencapaian PAS di bawah Tuan Guru ini cukup diyakini serta disenangi ahli-ahli dan para penyokong PAS, akan tetapi musuh-musuh politik PAS tidak pernah senang dan akan terus mencari peluang serta ruang untuk melaga dan memporak-perandakan kedudukan dan kestabilan di dalam PAS kerana mereka cukup bimbang dengan kekuatan PAS ini.

Media sosial umpamanya sedang gawat mengadu-domba mengatakan kononnya sudah tiba masanya untuk Tuan Guru berehat dan melepaskan jawatannya. Bagi saya dengan pencapaiannya yang sebegini baik, kepimpinan Tuan Guru masih diperlukan terutama untuk memastikan kejayaan PAS dalam PRU ke 15 nanti.

Benar dizaman Almarhum Ustaz Dato Fadzil Mohd Nor dulu PAS menguasi 27 kerusi Parlimen iaitu dalam PRU ke 10 namun walau PAS hari ini memenangi hanya 18 kerusi Parlimen tetapi ia sebahagian dari kerajaan Persekutuan serta menguasai pula 3 buah negeri dan PAS punya ADUN bukan sekadar di Perlis, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Johor malah juga punya ADUN tunggal di Sabah.

Kerana itu pencapaian dan kepimpinan Tuan Guru adalah begitu cemerlang sehingga hampir mustahil ahli-ahli dan penyokong PAS bersedia untuk mengizinkan beliau berundur.

Selain itu Tuan Guru juga telah membuktikan bahawa di bawah kepimpinannya musuh politik nombor satu PAS iaitu Umno, berjaya didekati dan akhirnya memetrai permuafakatan dengan PAS.

Permuafakatan ini adalah satu pencapaian besar dalam sejarah politik negara ini, ia mungkin telah pernah dan telah dirintis dan diusahakan jalannya oleh pimpinan terdahulu namun hanya tercapai ketika Tuan Guru menjadi Presiden.

Kejayaan membawa parti-parti Melayu Islam duduk bermuafakat dan membentuk kerjasama politik bukannya sesuatu yang mudah tetapi antara PAS dan Umno contohnya atas kesungguhan Tuan Guru seta pimpinan politik yang lain, perbalahan lebih 60 tahun dapat didamaikan dan seteru politik kini bertukar menjadi kawan, siapakah yang boleh menafikan pencapaian ini.

Dalam muktamar PAS yang lalu ucapan dasar Tuan Guru bertemakan “Islam Memperkukuh Perpaduan” ternyata formula Islam adalah satu-satunya kunci kepada kesatuan dan perpaduan ummah. Tiada formula lain yang boleh mencantumkan parti-parti Melyu Islam yang berbalah melainkan Islam.

Lantaran itu Tuan Guru dijangka terus menekankan kepada konsep perpaduan berteraskan Islam ini kerana dalam menghadapi kemelut semasa serta berhadapan pula dengan ancaman dari Pakatan Harapan yang didominasi DAP, parti-parti Melayu Islam yang kini bernaung membentuk kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan PM Dato Sri Ismail Sabri tidak punya pilihan atau opsyen lain selain bersama-sama PAS mendaulat dan memartabatkan Islam

Berbalah dan bersengketa sesama sendiri hanya akan mengundang PH yang didominasi DAP itu untuk kembali merangkul kuasa, ketika itu menangis air mata darah sekalipun sudah tidak berguna.

Kerana itu Umno dan Bersatu yang bersengketa apa cara sekalipun perlu didamaikan oleh PAS dengan berpegang kepada satu formula penyatuan yang boleh menguntungkan semua pihak.

Siapakah lagi yang mampu menjadi pendamai dalam konflik sebegini dan menonjoli usaha penyatuan ini jika tidak PAS yang dipimpin Tuan Guru.

Dalam hal ini Naib Presiden PAS, Dato Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Timbalan MB Kelantan dipetik oleh Joceline sebagai berkata bahawa setiap parti punya kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kita perlu berkerja bersama dan menyatukan kekuatan kita bagi saling bantu-membantu sesama kita.

Jika ini berjaya dicapai tidak mustahil PRU mendatang bakal menyaksikan kecundagnya PH kerana tidak mampu berhadapan dengan kekuatan politik baru yang mendaulatakan jajaran politik perpaduan ummah ini.

Begitulah dijangka “mood” para perwakilan PAS kini walaupun Muktamar kali ini adalah muktamar pemilihan namun rata-rata ahli-ahli dan penyokong PAS menutut Presiden dan kepimpinan parti agar terus menjadi pendamai sehingga Umno dan Bersatu boleh bersetuju untuk masing-masing bertanding satu lain satu menghadapi calon-calon PH samada di kerusi Parlimen mahupun DUN.

Ini bukan masanya untuk menukar nakhoda tetapi inilah masanya untuk mengukuhkan bahtera dan terus belayar dengan gagah membelah laut dan badai berbekal Islam yang menjadi nyawa yang bakal menentukan nasib dan masadepan kita bersama.

20 Oktober 2021 | 13 Rabiul Awal 1433H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor