Home Berita PAS Perak

Info Perak | Perak mula fasa ketiga program imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

43
SHARE
IPOH: Perak dijangka memulakan fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) minggu hadapan dengan memanfaatkan sepenuhnya 668,000 bekalan baru vaksin yang akan diterima bulan ini.
Menteri Besar, YAB Dato’ Saarani Mohamad berkata, lima strategi akan dilaksanakan melalui Badan Bertindak COVID-19 Kebangsaan (CITF) Negeri Perak.
“Kerajaan Negeri membuka dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu iaitu di PPV Proton di Tanjung Malim dan PPV Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar.
“Pembukaan Mega PPV Pandu Lalu di Lost World of Tambun turut dicadang dengan jangkaan penggunaan maksimum antara 89 hingga 94 peratus meliputi sasaran kadar suntikan antara 5,000 hingga 7,700 sehari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media secara atas talian di pejabatnya di sini hari ini.
Menurutnya, tiga PPV Khas untuk industri dicadang merangkumi PPV Manjung, PPV Kinta dan PPV Larut Matang dan Selama.
Melalui program Outreach, pasukan Agen Basmi COVID-19 akan digerakkan ke lokasi yang merekodkan kadar pendaftaran rendah terutamanya di kawasan pedalaman atau lokasi lemah liputan internet.
“Setakat semalam, seramai 1,235,218 atau 66.3 peratus penduduk Perak berusia 18 tahun ke atas sudah membuat pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera.
“Sekiranya bekalan vaksin tiba seperti dijadualkan, sebanyak 24,000 suntikan sehari mampu dicatatkan dan dijangka meningkat sehingga 30,000 suntikan sehari jika bekalan vaksin bertambah,” ujarnya.
Kerajaan Negeri turut menyasarkan lebih banyak kolaborasi dengan pihak hospital dan klinik swasta untuk terlibat dalam program vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok.
Setakat hari ini, seramai 239,147 rakyat negeri Perak telah melengkapkan dua dos vaksin manakala seramai 402,236 telah menerima suntikan pertama.
Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]
Foto: Arkib