Home Rencana PAS Selangor

Ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah – PAS Kawasan Kuala Langat

1439
SHARE

May be an image of 3 people, people sitting and text

Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Kuala Langat

Oleh : PAS Kawasan Kuala Langat

Begitulah perhubungan antara ilmu dan amal. Sehebat mana sekali pun ilmu seseorang itu, tetapi jika tidak diamalkan atau diperkongsikan samalah seperti pohon yang tidak berbuah.

Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna menerangkan bahawa amal adalah buah bagi ilmu yang ikhlas. Ilmu yang benar akan menjadi berkurang dan semakin pincang apabila ilmu tersebut gagal mendorong ke arah beramal dengannya.

Maka, sebagai umat Islam yang merupakan umat terbaik seharusnya kita bersungguh-sungguh untuk beramal dan bekerja dengan sepenuh hati, bukannya sekadar memahami teori dan suka berdebat semata-mata.

Firman Allah SWT,

وَقُلِ اعْمَلُوْا فَسَيَرَى اللّٰهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُوْلُه وَالْمُؤْمِنُوْنَۗ وَسَتُرَدُّوْنَ اِلٰى عٰلِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَۚ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat akan apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah: 105)

Apabila telah berjaya mengamalkan ilmu, seterusnya kita perlu berusaha untuk istiqamah mengerjakannya. Kerana istiqamah merupakan salah satu sifat yang mulia dan dituntut supaya kita sentiasa berada dalam naungan Allah SWT.

Istiqamah bermaksud tetap berdiri teguh dengan jalan yang lurus, berpegang kepada akidah Islam seterusnya berusaha melaksanakan syariat-syariat Allah dengan bersungguh-sungguh dan tidak terpesong kepada jalan mungkar.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 112,

فَاسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Maka hendaklah engkau wahai Nabi Muhammad sentiasa beristiqamah tetap teguh di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan orang-orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Namun, istiqamah ini memerlukan kekuatan dan keazaman yang jitu. Ia menuntut kepada kekuatan kesabaran dalam menghadapi kesukaran daripada nafsu termasuklah ancaman daripada musuh-musuh Islam.

Teruslah berusaha beramal walaupun sedikit dengan penuh istiqamah kerana ia lebih afdhal seperti sabda Rasulullah SAW,

عن عائشة رضى الله عنها قالت، قال رسول الله ضلى الله عليه وسلم: أحب الأعمال إلى الله تعالى أدومها وإن قل

Daripada Aisyah Radiallahu Anha telah berkata, bersabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik amalan kepada Allah SWT adalah perbuatan yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit. (HR. Muslim)

Akhirnya, beramallah dengan ilmu dan berusahalah untuk istiqamah. Hakikatnya kekuatan itu kurniaan daripada Allah SWT jua. Hanya dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, kita mampu beroleh kejayaan dan kemenangan. Moga Allah SWT melimpahkan Rahmat-Nya kepada kita.

29 Oktober 2021 | 22 Rabiul Awal 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor