TITIWANGSA, 11 Mac 2019 : Mesyuarat Agung Kawasan Titiwangsa yang diadakan semalam berakhir dengan penuh semangat. Para perwakilan PAS Kawasan Titiwangsa berikrar akan terus meningkatkan gerak kerja bagi merampas semula Parlimen Titiwangsa (P119) daripada Barisan Nasional. Ikrar yang diketuai oleh Pengarah Pilihan Raya Kawasan, Tn Hj Yaacob Omar dilafazkan di hadapan Naib Presiden Pas, YB Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad dan turut diterjemahkan dalam bentuk usul yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan Titiwangsa Kali ke-33 di sini, kelmarin.
Mesyuarat Agung kali ini dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, YB Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad yang juga merupakan ADUN Chempaka. Beliau mengingatkan kepada Jentera PAS supaya tidak leka dalam mengatur program yang akan dilakukan serta mengatur strategi untuk merampas kembali Parlimen Titiwangsa.
“Kita perlu menyusun strategi yang bersesuaian dengan keadaan setempat dan memikat pengundi. Usaha juga perlu digandakan kerana musuh juga sedang bekerja.” ujar beliau.
“Tawaran kita kepada rakyat ialah penyelesaian Islam. Itu beza kita dengan musuh. Kita sendiri perlu yakin dengan penyelesaian ini kerana Islam adalah agama yang menjaga kesejahteraan ummat, termasuklah dalam aspek ekonomi, pembangunan dan pemerintahan negara.” tegasnya.
Majlis perasmian turut diserikan dengan gimik ‘Perarakan Rakyat’ yang menggambarkan sokongan lapisan rakyat dan keyakinan mereka dengan tawaran yang diberikan PAS.
Semangat juang dan komitmen para perwakilan dan jentera pilihanraya terus berkobar dengan kehadiran Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Mohamad Noor Mohamad. Beliau sangat menekankan supaya jentera membuat persiapan rapi dan menjaga sudut masing-masing agar musuh tidak dapat mengambil kesempatan ke atas kita.
Majlis diakhiri dengan
ucapan penggulangan oleh Yang Di-Pertua PAS Titiwangsa, Hj Khairul Anuar Abdul Manap. Menurut beliau, sebagai ahli gerakan Islam kita perlu mendekatkan diri kepada Allah dengan bermunajat kepadaNya agar Islam dapat ditegakkan di tanah air kita. Kemenangan hanya akan hadir jika kita memenuhi pra-syarat yang telah digariskan di dalam al-Quran dan panduan sirah Nabi Muhammad bersama para sahabatnya.
Mesyuarat Agung Kawasan kali ini dihadiri oleh cawangan-cawangan Pas dalam Parlime
n Titiwangsa sebagai tanggung jawab dan komitmen khusus mendepani pilihan raya yang semakin hampir.