Home Berita PAS Johor

Ikon Istiqomah PAS Pagoh Meninggal Dunia

2391
SHARE

Oleh Ahmad Nawfal Bin Mahfodz
15 Mac 2018

PAGOH: PAS kawasan Pagoh kehilangan seorang permata yang cukup berharga yang telah kembali ke Rahmatullah pada petang tadi.

Harith Bin Abdul Latiff atau dikenali sebagai Pak Aris ,telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Pengalaman dan jasa Pak Aris terlalu banyak untuk dikongsikan dalam coretan ini. Cukup untuk saya nyatakan beliau adalah ikon istiqamah PAS Pagoh. Beliau adalah orang hebat yang memastikan PAS Pagoh terus berjalan lancar termasuk menghidupkan Markas PAS tertua di Pagoh ini. Antara jawatan penting beliau pernah ditaklifkan sebagai Setiausaha PAS Kawasan Pagoh untuk beberapa penggal yang panjang bersama sekurang-kurangnya 4 orang YDP.

Secara peribadi, beliau telah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dalam perjuangan ini dan orang yang banyak memberi teguran agar Islam dan PAS perlu sentiasa diutamakan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pagoh, Tuan Faharudin Bin Ahmad bersama rombongan sempat menziarahi beliau di hospital termasuk juga ketika awalnya dimasukkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar. Rakan-rakan kepimpinan PAS Pagoh juga sentiasa menemani beliau di hospital termasuk Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat yang pernah menjadi YDP PAS Pagoh, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed.

Jenazah akan dikebumikan di Kampung Tui, Bukit Kepong pagi esok. Semoga usaha dan sumbangan beliau semasa hayatnya dikira sebagai amal soleh di jalan Allah S.W.T.