Oleh : Siti Aseelah Mohd Noor
TELUK INTAN, 21 Oktober : Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional Teluk Intan telah berlangsung di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) di sini, baru-baru ini.
Tanda kebersamaan dapat dilihat dengan keseragaman pakaian bertema biru serta kehadiran memberangsangkan dari penyokong gabungan tiga parti yang cintakan kesejahteraan lantas membentuk Perikatan Nasional.
Setiausaha Perikatan Nasional, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin menegaskan agar semua petugas dapat mewujudkan kesefahaman dalam memastikan kemenangan memihak kepada Perikatan Nasional khususnya di negeri Perak.
Program pada malam itu telah dirasmikan oleh Naib Setiausaha Perikatan Nasional, Fairul Hafiz Othman.
“Iktibar peristiwa kabilah Arab Aus dan Khazraj yang bertelingkah selama 150 tahun menjadi indikator bahawa persaudaraan dapat ditautkan dengan kehendak Allah,” katanya.
Menurutnya lagi, Allah tidak mengukur kemenangan dengan kekuatan jentera yang hebat (namun) keikhlasan dalam gerak kerja yang Allah lihat.
“Sebagaimana yang berlaku ketika sariyah Abdullah bin Jahsy yang merampas kabilah perdagangan Abu Sufian serta ditakdirkan kemenangan untuk Islam walau kurang persenjataan adalah diukur atas keikhlasan dalam perjuangan,” jelasnya.
Acara penyerahan bendera dilakukan kepada Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai gimik pelancaran diiringi nyanyian lagu Perikatan Nasional di majlis penutup program tersebut.
Turut hadir, Ketua Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional, Naziruddin Mohd Bandi, Timbalan Yang DiPertua PAS, Rostam Malek, Timbalan Ketua 3 Perikatan Nasional, Yop Hoe Leong, Naib Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Fairuz Ismail dan ahli jawatankuasa yang lain.