Home Berita PAS Pahang

Buka puasa berjemaah perkukuh ukhuwah antara ahli

173
SHARE

Oleh FARIDAH KAMARUDDIN

KUANTAN, 19 Okt :: Budaya mengadakan program berbuka puasa secara beramai-ramai atau iftar jama’ie mampu memperkukuh ukhuwah sesama ahli PAS muslimin dan muslimat.

“Menyedari hal ini, HALWA Unit Daerah Mengundi (UDM) Kampung Belukar telah merealisasikannya sebagai program bulanan sejak beberapa tahun lalu dan diharapkan akan berterusan untuk tahun-tahun mendatang,” ujar Timbalan Yang Dipertua PAS Kuantan, Wan Razali Wan Nor ketika ditemui di program bulanan iftar dan sambutan hari lahir di Kampung Belukar dekat sini kelmarin.

Program itu telah dianjurkan oleh HALWA Unit Daerah Mengundi (UDM) Kampung Belukar yang di ketuai oleh Maslia Man merangkap Ketua Jawatankuasa Muslimat Cawangan (JMC) Batu 3.

Turut hadir mantan Penghulu Mukim Penor, Mohamed Hafizal Mohamed Shah dan Ketua-Ketua JMC;  Kampung Razali (Rohana Mohd Yusof), Kampung Belukar (Norhartini Kamaruddin) dan Kampung Kurnia (Rohani Dolah).

Mohamed Hafizal dalam tazkirah ringkasnya telah mengingatkan yang hadir tentang bermulanya musim pilihan raya yang bermakna setiap cabaran yang datang adalah untuk menguji kekuatan dan persediaan kita.

“Tidak ada kemenangan melainkan kena kerja keras tanpa menafikan pertolongan semestinya dari Allah SWT,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, “jangan pernah berhenti melangkah kerana pejuang-pejuang Islam kena sentiasa berusaha memenangkan agama Allah SWT.

“Setiap titik peluh dan pengorbanan akan dibalas oleh Allah SWT dan kepenatan ini hanya sementara.”

Tuan rumah, Zaki Abdullah menzahirkan kesyukurannya di atas kejayaan program yang telah dihadiri seramai 40 orang.