Home Rencana PAS Selangor

Ideologi zalim – DPPK Petaling Jaya

363
SHARE

May be an image of text that says "JANGAN ZALIM!"

Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Oleh : Dewan Pemuda PAS Kawasan Petaling Jaya

Ajaran Islam menekankan bahawa perbuatan zalim ini bukan hanya perbuatan yang dilakukan secara zahiriah dan fizikal, yang melakukan kezaliman dengan cara membunuh dan melakukan banyak kemusnahan di atas muka bumi.

Tetapi sifat zalim juga boleh berlaku jika seseorang yang mempunyai bentuk pemahaman dan pemikiran yang merosakkan serta tersemat di dalam hatinya dengan sifat buruk yang pelbagai.

Sebagaimana sabda Nabi SAW di dalam hadis yang mashyur :

ألا وإن في الجسد مضغة : إذا صلحت صلح الجسد كله، وإذا فسدت فسد الجسد كله، ألا وهي القلب

Yang bermaksud : “Ketahuilah, sesungguhnya di dalam diri ada segumpal daging, sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh tubuh, dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh, ketahuilah segumpal daging itu adalah hati…”

Secara umumnya, perbuatan zalim ini juga boleh jadi ianya di lakukan ke atas diri sendiri dengan menzalimi diri sendiri dengan melakukan segala perbuatan yang akan memudharatkan diri mereka.

Juga, perbuatan zalim ini turut di lakukan ke atas orang lain dengan cara menzalimi orang lain sehingga mendatangkan perkara-perkara yang mudharat keatas orang lain.

Antara ciri-ciri kezaliman yang menzahirkan sifat zalim dalam diri individu :

1. Zalim merupakan sifat fasiq dan mungkar.
2. Berdusta dan melarang dari kebenaran.
3. Ingkar terhadap kebenaran.
4. Reda terhadap kezaliman dan kemaksiatan yang berlaku.
5. Suka mengabaikan amanah.
6. Melanggar hukum Allah tanpa rasa takut.
7. Gemar untuk melakukan sesuatu perkara mengikut hawa nafsu.
8. Tamak dan sering mengambil hak orang lain.
9. Tidak merasa belas kasihan terhadap orang lain.
10. Lupa terhadap peringatan dan ancaman Allah SWT.

Perbuatan zalim ini jelas merupakan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Allah SWT menjelaskan lagi sikapNya dalam menghadapi orang-orang yang zalim ini di dalam Al Quran.

وَأَمَّا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَیُوَفِّیهِمۡ أُجُورَهُمۡۗ وَٱللَّهُ لَا یُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِینَ

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

(Surah Ali Imran : 57)

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوۡ كَذَّبَ بِـَٔایَـٰتِهِۦۤۚ إِنَّهُۥ لَا یُفۡلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.

(Surah Al-An’am : 21)

Jelas firman Allah SWT dan sabda Nabi SAW yang melarang umat Islam dari terus melakukan kezaliman.

Namun, masih lagi terdapat umat Islam yang berdegil kerana tetap berbuat zalim dengan membenarkan segala perbuatan mereka. Mereka menjustifikasikan segala perbuatan dan tindakan mereka dengan menyandarkan hujah-hujah mereka dengan menggunakan dalil-dalil Al Quran yang bersesuaian dengan tindakan mereka itu.

Islam melarang perbuatan zalim di balas dengan kezaliman juga. Tetapi ini tidak bermaksud agama Islam melarang seseorang yang dizalimi itu memeprtahankan hak-hak mereka.

وَٱلَّذِینَ إِذَاۤ أَصَابَهُمُ ٱلۡبَغۡیُ هُمۡ یَنتَصِرُونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).

(Surah As-Syura : 39)

Islam memberikan hak kepada individu untuk mempertahankan diri, agama, akal, maruah atau harta apabila merasakan salah satu dari lima perkara tersebut terancam.

Tindakan tersebut hanyalah untuk mempertahankan haknya yang telah dicerobohi penzalim itu dan tidak boleh membalas perbuatan zalim tersebut lebih daripada batas-batas yang ditetapkan.

Nabi SAW bersabda di dalam sebuah hadis qudsi,

يا عبادي، إني حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرما فلا تظالموا…

Yang bermaksud : “Wahai hambaKu, sungguhnya Aku(Allah) telah mengharamkan sifat zalim ke atas diriKu dan Aku juga telah mengharamkan sifat ini di antara kalian semua, maka janganlah kamu berlaku zalim diantara satu sama lain.

Islam juga telah meletakkan garis panduan supaya bersifat ihsan dalam apa jua tindakan dan perbuatan yang berkait rapat dalam hubungan muamalat sesama manusia. Dengan menzahirkan sifat hormat-menghormati, belas kasihan dan kasih sayang sesama makhluk Allah.

Jika sesuatu tindakan tegas perlu di ambil, tindakan tersebut mestilah di dasari dengan dasar-dasar yang diizinkan syara’, diadili dengan penuh keadilan dan berlandaskan hukum-hukum Islam yang murni.

Tindakan ini bukanlah berdasarkan hawa nafsu semata-mata atau tindak balas dengan sebab dendam dan kebencian semata-mata.

Inilah perbezaan dasar yang menjadi kayu ukur di antara perbuatan yang diredhai Allah dna perbuatan yang jelas dilarang di dalam Islam.

إِنَّاۤ أَنزَلۡنَاۤ إِلَیۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَیۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَاۤ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَاۤىِٕنِینَ خَصِیمࣰا

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

(Surah An-Nisa’ : 105)

Kredit : Saiful Islam bin Ariffin

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor