Home Berita PAS Pahang

i-Suri KWSP bantu golongan B40 di Beserah

136
SHARE

Oleh: LIZA ALI

INDERA MAHKOTA, 9 Nov. :: Dewan Negeri (DN) Beserah telah bekerjasama lagi dengan KWSP Negeri Pahang dengan turun ke lapangan buat kali kedua untuk memberi penerangan kepada masyarakat khususnya kepada suri rumah dan ibu tunggal yang berdaftar dengan e-Kasih.

Ahli Dewan Negeri Beserah YB Andansura Rabu telah melancarkan i-Suri KWSP di Dewan Orang Ramai Balok di sini dihadiri 100 peserta daripada 531 orang yang ada dalam senarai.

Di dalam pertemuan itu beliau menyeru khasnya suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih supaya membuat caruman untuk menjamin masa akan datang.

“Saya akan memberi sokongan yang jitu untuk membawa KWSP turun ke kawasan lain yang agak sukar peserta keluar,” ujar Andansura.

Setiap pencarum yang mencarum akan mendapat kelebihan termasuk khairat kematian, bantuan kurang upaya dan insentif khas.

Setiap pencarum hanya perlu membayar RM5 sebulan atau RM60 setahun. Mereka layak mendapat sumbangan daripada kerajaan sebanyak RM480 dan menjadikan simpanannya RM540 setahun.

Antara syarat untuk memohon i-Suri ialah berusia 60 tahun ke bawah dan berdaftar di bawah program bantuan e-Kasih.

Andansura berharap masyarakat dapat mengambil peluang yang diberi oleh kerajaan dengan membuat caruman dalam i-Suri ini.

Antara yang hadir dalam program tersebut ialah Ketua Negeri KWSP Negeri Pahang Mohd Zubair Alias, Ketua Syeksen Caruman Kewangan KWSP Kuantan Azmi Abdul Rahman, Penghulu Mukim Sungai Karang Faizul Rahimi Dato’ Abu Ishak dan JPKK Kampung Balok Mansur Mokhtar.

:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::