Penyatuan UMNO-PAS Bukan Semata-Mata Survival Politik
Oleh : HN
KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER – Wanita UMNO mempertahankan bahawa penyatuan ini bukan agenda individu atau satu kumpulan sahaja, tetapi ia digerakkan secara bersama oleh kedua-dua parti UMNO dan PAS.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Dato’ Dr Noraini Ahmad ketika sidang media sempena Himpunan Wanita Penyatuan Ummah (HWPU) berkata kehadiran wanita UMNO dan muslimat PAS ke himpunan tersebut yang terlalu ramai dan melebihi jangkaan awal merupakan signal awal yang positif kepada usaha penyatuan ini.
“Kenapa perlu takut dengan kesatuan? Kita tak buat kacau bilau di atas jalanraya. Kita berhimpun secara aman dan tenteram,” katanya ketika membidas provokasi yang menyatakan penyatuan ini merupakan langkah survival politik dua buah parti sahaja.
“Kerjasama antara Wanita UMNO dan Muslimat PAS pun bukannya baru sahaja bermula. Ianya sudah berlaku sejak 3 pilihanraya kecil yang lalu.”
“Saya berterima kasih kepada Dewan Muslimat PAS kerana turun padang membantu. Akhirnya Barisan Nasional menang dan ini bukan kemenangan kami sahaja tetapi kemenangan bersama PAS,” tambah beliau dalam sidang media yang diadakan Jumaat lalu.
Pada sidang media itu juga, Ketua Dewan Muslimat PAS, Senator Nuridah Mohd Salleh juga menjawab isu yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak yang menyifatkan penyatuan ini sebagai terlalu tergesa-gesa.
“Siapa yang berkata begitu bermaksud dia tak membaca sejarah. PAS dan UMNO sejak dahulu boleh diibaratkan seperti adik beradik, ada masa bermasam muka namun akhirnya akan berbaik semula. Kita satu agenda, satu agama dan satu bangsa jadi tidak pelik jika kita memilih sekarang sebagai waktu yang tepat untuk bersatu.”
“Kami yakin perjuangan menyatukan ummah ini tidak bercanggah daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Membujur lalu melintang patah PAS akan perjuangkan kerana Allah.”
“Bagi PAS yang paling penting adalah keberlangsungan agama Islam itu dahulu. Kita fokus kepada kerja kita dan kemudian serahkan keputusannya kepada Allah,”kata Nuridah.
Beliau juga berkata bahawa penyatuan ini adalah penyatuan yang berprinsip kerana ianya bertepatan dengan tepat dengan kehendak Allah SWT.
“Islam juga mengajar kita supaya tidak takut terhadap celaan, hinaan dan provokasi yang ditaburkan mana-mana pihak. Fokus kita adalah kepada menjayakan penyatuan ini,” ujar beliau lagi.