Gema Munajat Menyatu Hasrat Memohon Berkat
Oleh: Khairunnashriah Binti Mohd
KUALA LUMPUR, 13 Sept – Seramai hampir seribu wanita berkumpul memenuhi ruangan solat di Dewan Tun Razak 3, Aras 3 PWTC bagi mengalunkan zikir munajat dan menunaikan solat sunat hajat secara berjemaah.
Solat sunat hajat dua rakaat yang menjadi acara pembukaan Himpunan Wanita Penyatuan Ummah (HWPU) tersebut dipimpin oleh YB Senator Hajjah Nuridah Binti Mohd Salleh yang merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.
Sedari jam 8.30 pagi, suasana dewan sederhana besar di PWTC ini digamatkan dengan alunan zikir munajat dan kesyahduan doa menyatu hasrat memohon segala berkat dan petunjuk daripada Yang Maha Esa.
Limpahan manusia yang berpakaian tema putih seakan-akan para ‘Dhuyuf ar-Rahman’ di Baitullahil Haram ini secara literal menjadi simbol penyucian dan penyatuan antara ummah tanpa mengira perbezaan spektrum politik.
Jumaat penghulu segala hari menjadi saksi pengulangan detik bersejarah penyatuan antara dua parti ini setelah berdekad lama ditelan zaman demi memartabatkan agama, bangsa dan negara.