SIKAP berkecuali PAS terhadap Belanjawan 2018 adalah menggambarkan pendirian parti itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah menolak dakwaan pihak tertentu yang menuduh parti itu tidak berpendirian.
Katanya, berkecuali itu adalah satu pendirian dan pendirian itu telah diambil oleh PAS.
“Dalam Parlimen ada tiga pilihan, sama ada terima, tolak dan berkecuali dan berkecuali itulah pendirian kita,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengumpamakan hidangan pelbagai lauk pauk.
Katanya, tidak semua apa yang dihidangkan itu dimakan, ada yang boleh dan ada yang tidak.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini hari ini.
Katanya, begitu juga dalam belanjawan baru ini.
Katanya, ada yang baik untuk kepentingan rakyat dan ada sebaliknya.
“Takkan kita nak sokong perkara yang buruk dan takkan pula kita nak tolak belanjawan yang baik untuk rakyat,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, sikap berkecuali itu bukan kali ini berlaku.
“Pimpinan tertinggi DAP seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang dan lain-lain turut berbuat perkara yang sama sebelum ini,” ujarnya.
Setelah perbahasan Belanjawan 2018 di peringkat dasar yang bermula 30 Oktober hingga 13 November lalu berakhir, PAS mengambil pendirian untuk berkecuali. – HARAKAHDAILY 15/11/2017