Oleh : SHARIFAH AJIL
MUAR , 5 Ogos : Himpunan anak-anak muda berbaju hitam yang diadakan di Dataran Merdeka baru-baru ini menunjukkan semangat mereka inginkan perubahan kerana rasa ketidakpuashatian kepada pihak kerajaan.
Namun demikian, dalam suasana pandemik Covid 19 ini, tidak patut ianya dilakukan kerana ketidaksesuaian masa dan suasananya ketika ini.
Demikian pandangan yang diberikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Muar, Abd Aziz Talib di sini hari ini.
Menurut beliau anak-anak muda harus bersabar untuk menyampaikan suara golongan muda yang tidak berpuas hati ini dengan menggunakan cara dan kaedah yang lebih baik serta berkesan.
“Penglibatan wakil rakyat pembangkang yang bertindak menyokong himpunan anak muda ini, hanyalah bertujuan menjadikan himpunan ini sebagai platform pembangkang yang memang sentiasa membangkang dan tidak puas hati kepada kerajaan.
“Dalam situasi yang begini, pembangkang sepatutnya kena tunjuk teladan yang baik kepada anak muda dan masyarakat kita.
“Seharusnya sama-sama membantu masalah dengan saling bekerjasama berganding bahu untuk mengatasinya, lebih-lebih lagi dengan situasi kes yang semakin meningkat,” ujar beliau lagi.
Beliau menegaskan sepatutnya pembangkang dan anak-anak muda perlu ketepikan sentimen politik mengikut emosi semata-mata, dengan melakukan perbincangan pasti boleh mencari solusi penyelesaian.
Tambah beliau segala masalah boleh dirungkaikan dengan perbincangan yang baik dan bernas serta boleh juga dibawa ke parlimen jika perlu.
Menurutnya lagi, dengan menyalahkan satu pihak sahaja hingga menjadikan suasana politik dalam negara menjadi kucar-kacir ditambah dengan suasana pandemik ini, rakyat akan merasa kurang selesa dan jijik dengan politik.
Abd Aziz juga berpendapat cara pembangkang yang dikatakan dapat sokongan dengan cara demonstrasi begini dengan alasan kerajaan gagal, namun kelihatan sekadar agenda untuk dijadikan isu bagi menarik simpati golongan anak muda, para peniaga yang terjejas pendapatan dan yang hilang pekerjaan.
“Bukankah kerajaan sudah bertindak memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seperti pemberian morotorium, vaksinasi, bakul makanan dan sebagainya yang terangkum dalam pakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan.
“Sepatutnya semua berganding bahu bergerak bukan mengikut kepopularan parti untuk menunjukkan keupayaan masing-masing,” katanya mengakhiri bicara ketika dihubungi Wartawan Rakyat Johor.