Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Hikmah Kepelbagaian Kaum Dan Bangsa

9869
SHARE

Islam adalah agama kedamaian, keadilan dan keharmonian. Islam amat menitik beratkan kasih sayang dan toleransi sesama manusia tanpa mengira kaum, bangsa dan warna kulit. Islam tidak pernah mengajar umatnya membenci walaupun dalam kalangan mereka yang berbeza agama dan pegangan. Andai ada umat Islam yang bersikap sedemikian, seharusnya bukan agama yang harus dipersalahkan tetapi itu adalah masalah individu.

Allah swt ada menyebut di dalam Surah Al-Hujurat ayat ke 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Ayat ini jelas menunjukkan prinsip Islam yang amat mementingkan kedamaian. Dijadikan manusia dengan pelbagai bangsa dan suku kaum agar kita dapat saling mengenali dan memahami di antara satu sama lain.

Atas dasar inilah PAS sebagai sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan amat mementing perpaduan dan kasih sayang sesama manusia tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Walaupun PAS bergerak atas dasar Islam, PAS sama sekali tidak pernah meminggirkan mereka yang bukan beragama Islam bahkan sentiasa meraikan mereka. Kerana itulah wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi meraikan kehadiran rakan-rakan bukan Islam yang turut sama memperjuangkan keadilan yang dibawa oleh PAS.

Dalam konteks perjuangan PAS di Sarawak khususnya di kawasan Petra Jaya, PAS sentiasa terbuka menerima kehadiran rakan-rakan bukan Islam ingin bersama-sama PAS. Baru-baru ini, Dewan Muslimat PAS Petra Jaya turut mengadakan ziarah bersempena perayaan Hari Gawai yang disambut oleh rakan-rakan kaum Iban di sekitar Petra Jaya. Sebelum ini juga pernah diadakan program ziarah kebajikan bagi menyerahkan baran-barang keperluan harian.

Bersempena Hari Gawai yang disambut pada 1 Jun 2017 ini, Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya mengucapkan “Gayu guru gerai nyamai” kepada seluruh kaum Iban. Ngajih ka kita gayu guru, gerai nyamai, lantang senang nguan menua (mudah-mudahan kita beroleh kesejahteraan, kesihatan, nasib yang baik dan hidup bahagia aman makmur di tanahair).

Pastinya pada Hari Gawai ini semua ahli keluarga akan berkumpul beramai-ramai bagi meraikan tamatnya musim menuai padi dan menandakan permulaan musim penanaman padi yang baru. Semoga peluang berkumpul bersama kaum keluarga dapat dimanfaatkan untuk saling mengenali dan mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga. Yang masih dalam perjalanan pulang ke kampung halaman samada melalui darat, udara mahupun melalui sungai, didoakan semoga kalian diberi keselamatan di sepanjang perjalanan dan tiba di kampung halaman dengan selamat.

Akhir kata SELAMAT HARI GAWAI.

Ikhlas daripada,
Puan Habsah Bujang
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya

 

{jathumbnail off}