Home Artikel PAS Melaka

Hidupkan kemelayuan di kalangan anak muda

47 views
SHARE

Oleh : SITI SALWANI BT MOHD KASSIM

AYER KEROH : Akibat terlalu lama dijajah, rakyat Negeri Melaka khususnya generasi muda telah hilang kemelayuan apabila gagal melihat kehebatan Islam dan menganggap melayu ini lemah.

Demikian, ucapan Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin dalam ucapannya pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS, D’Village Resort, di sini.

“Islam telah datang ke Nusantara pada sekitar tahun 1200, tetapi hanya di beberapa daerah dan negeri sahaja, namun apabila Sultan Melaka memeluk Islam pada tahun 1402,  agama Islam telah berkembang dengan cepat sehingga sampai ke wilayah Filipina, kepulauan Maluku, Papua dan berjaya mengislamkan keseluruhan Pulau Sumatera termasuk Semenanjung Tanah Melayu.


Tambahnya lagi, menurut pengkaji undang-undang Melaka Liaw Yock Fang, peruntukan kanun Melaka semasa pemerintahan Sultan Muhammad Shah dari tahun 1424 sehingga 1444 Masihi adalah terdiri daripada undang-undang perlembagaan. Antaranya jenayah, tanah, perhambaan, keluarga dan Islam, di mana undang-undang Islam itu pula mengandungi hukum jual beli, pengadilan, qisas dan jenayah Islam atau hudud.

Bakri menekankan bagaimana orang melayu, bukan sekadar dijajah secara fizikal sejak tahun 1511 tetapi perjajahan selama ratusan tahun itu turut  perlahan-lahan menjajah pemikiran mereka.

Justeru, Lajnah Penerangan Dan Media Baru Melaka telah merancang untuk menulis, kembali kepada sejarah Melaka supaya anak-anak muda tahu bahawa Melaka ini dulu pernah menjadi sebuah kerajaan yang mengguna pakai Kanun Jenayah Syariah sebagai salah satu hukum di dalam kesultanan Melaka.

“Sejarah mesti diulang ceritanya sehingga anak muda hari ini, sedar bahawa negeri Melaka dahulu adalah pusat pengembangan agama Islam dan kerajaan Islam Melaka adalah penyumbang kepada tersebarnya Islam ke seluruh nusantara. Mudah-mudahan Islam akan dapat dimartabatkan semula di Melaka.” tambah beliau lagi.

Turut hadir di majlis yang sama ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin bin Sidek dan AJK PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi bin Marzuki dan IR Muhtar bin Suhaili.