Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Perjanjian sempadan Rembau-Melaka

578
SHARE

9 JANUARI 1833 (RABU)

PADA hari ini dalam tahun 1833, satu perjanjian bagi menentukan sempadan di antara Rembau dan Melaka ditandatangani di Naning di antara Ketua Pemerintah Rembau dan pembesar-pembesarnya dengan wakil-wakil daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Pihak Rembau diwakili oleh Yam Tuan Besar Raja Ali, Yam Tuan Muda Sharif Saban bin Ibrahim Al-Kadaree, Datuk Penghulu Maharaja Lela dan Datuk-Datuk daripada Lapan Suku Rembau.

Syarikat Hindia Timur Inggeris pula diwakili oleh Robert Ibbetson, Gabenor Majlis Pulau Pinang, Singapura, Melaka dan Samuel Garling, Penasihat Residen Melaka.

Di antara lain perjanjian ini menyatakan sempadan di antara Rembau dan Melaka ialah Kuala Sungai Jenai hingga ke Bukit Bertam hingga ke Bukit Jelutong, Bukit Putus hingga ke Jerat Kancil, Lubuk Taling hingga ke Dusun Perinjai, Dusun Kacur hingga ke Buluh Sangkar dan ke Bukit Putus.

Tiada lagi perubahan terhadap sempadan yang dipersetujui di dalam perjanjian ini. Dengan termeterinya perjanjian ini, terbentuklah satu sempadan di antara Melaka dan Rembau yang akan memudahkan perhubungan di antara kedua belah pihak.

Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia