Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

Hentikan Kezaliman Ke Atas Umat Islam Uighur Di China

1,783 views
SHARE

HENTIKAN KEZALIMAN KE ATAS UMAT ISLAM UIGHUR DI CHINA

1. Isu berkaitan umat Islam Uighur di Xinjiang yang terletak di Barat China merupakan isu yang sangat penting. Umat Islam Uighur berhadapan dengan penindasan pemerintahan komunis di negara itu. Ia apabila pada tahun 2017, pihak berkuasa di Xinjiang melancarkan propaganda keselamatan dan menahan hampir 228,000 penduduk atas tuduhan jenayah sebagaimana sumber rasmi kerajaan oleh kumpulan hak, China Human Rights Defenders (CHRD).

2. Kezaliman dan penindasan ke atas umat Islam Uighur amat memilukan apabila kalangan mereka dipaksa murtad malah dilarang mengerjakan puasa dan menyimpan janggut. Lebih dahsyat lagi, terdapat berita di mana muslim Uighur yang dibunuh setelah pulang dari mengerjakan Haji di Mekah.

3. Pihak kerajaan Malaysia digesa untuk mengambil langkah yang proaktif dan efisyen mengenai isu ini dalam membelas nasib umat Islam di sana. Kenyataan tegas dari kerajaan Malaysia terhadap isu ini amat ditagih bagi menzahirkan pendirian ummah terhadap penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah di China ke atas umat Islam Uighur.

4. Seluruh ummah juga disarankan untuk berterusan melakukan doa munajat dan qunut nazilah agar Allah menurunkan bantuan membela hamba-Nya yang ditindas dan dizalimi serta menghancurkan perancangan jahat musuh-musuh yang melampaui batas. Walaupun isu yang berlaku jauh di luar sempadan negara kita, namun atas keterikatan aqidah yang sama, maka keprihatinan sebagai saudara seagama merupakan tanggungjawab kita bersama di sini.

5. Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru kepada semua ahli PAS dan umat Islam umumnya untuk mengecam tindakan zalim yang berlaku ke atas umat Islam Uighur di Xinjiang dan menggesa ia dihentikan serta merta. Apa yang dilakukan oleh pemerintah di China tersebut adalah melampaui batas yang menyekat hak penganut untuk bebas mengamalkan kepercayaan mereka. Ia adalah bertentangan dengan prinsip keharmonian sejagat manusia yang didokong.

6. Dewan Ulamak PAS Pusat juga menggesa agar pihak kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar Negara dapat mengambil langkah dan berperanan untuk bertemu dengan kerajaan China bagi membincangkan isu ummah ini. Jika benar kerajaan Malaysia Baharu hari ini serius dengan isu kesejahteraan dan ummah, maka inilah masanya tindakan yang serius boleh lakukan bagi membela umat Islam Uighur yang dizalimi.

MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat