Home Berita PAS Wilayah

Hari Keluarga PAS Kawasan Labuan kuatkan ukhuwwah

976
SHARE

Oleh: Jenno Jamil

LABUAN, Isnin – Hari Keluarga PAS Kawasan Labuan disambut meriah bersama saf kepimpinan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BBPWP) dan seluruh ahli PAS Kawasan Labuan di sini pagi kelmarin.

Turut hadir bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh memeriahkan lagi hari keluarga tersebut.

Antara matlamat penganjuran hari keluarga ini diadakan adalah bertujuan mengeratkan silaturrahim dan beramah mesra di samping menyahut kewajipan menjaga ukhuwwah sesama saudara Islam.

Ucapan alu-aluan daripada Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya telah memberikan sedikit sebanyak motivasi untuk lebih bekerja keras dalam memperkenalkan PAS kepada masyarakat khususnya di Labuan.

“Kita sebagai ahli PAS seharusnya mengambil peluang untuk menerangkan agenda PAS khususnya di Labuan ini kerana kita sudah berada di blok pemerintah dan menjadi kelebihan kepada kita semua,” ujar beliau.

Acara potong kek PAS telah disempurnakan oleh Ustaz Azhar setelah selesai memberikan ucapan alu-aluan beliau.

Yang dipertua PAS Kawasan Labuan, Haji Hamir Haji Zahari juga menzahirkan rasa gembira dan teruja dengan kehadiran yang amat memberangsangkan daripada ahli-ahli PAS Kawasan Labuan.

“Saya mengajak ahli-ahli PAS supaya berusaha gigih dengan ikhlas untuk memperkasa parti serta terlibat sama dalam sebarang program yang memberikan faedah kepada rakyat Labuan. Tidak juga lupa memohon kepada Allah agar pendokong dan penyokong parti serta rakyat Labuan sentiasa dalam rahmat dan dikurniakan barakah,” katanya.

Hari Keluarga PAS Kawasan Labuan juga diserikan dengan aktiviti-aktiviti menarik yang melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa dan pelbagai juadah yang enak dihidangkan kepada para tetamu yang hadir.