Home PAS Pusat

Hari Jawi : GERAKAN Diharap Lebih Normal

562
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Hari Jawi : GERAKAN Diharap Lebih Normal

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menasihatkan GERAKAN untuk bersikap tenang, matang dan sejahtera dalam reaksi mereka terhadap perkara berkaitan agama dan kaum lain yang majmuk di negara ini.

Sejujurnya Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong telah bertindak balas secara emosi dan keterlaluan terhadap kempen hari Jumaat sebagai Hari Jawi diumumkan kerajaan. Sekalipun GERAKAN mahu menerima perkara tersebut sebagai ‘perbezaan’, ia tidak harus didepani secara konfrontasi.

Mari kita berwacana secara intelek dan harmoni menghurai mengenai Jawi sebagai sebahagian budaya iaitu khat dan kaligrafi seni serta tradisi Malaysia. Lihat sejarah, penggunaan dan tujuannya yang menjadi sebahagian realiti hidup di negara ini.

Kenapa mesti memilih sentimen, prejudis, perseteruan sedangkan sebagaimana bahasa dan tulisan Cina dan Tamil, ia juga boleh menyatukan kita rakyat pelbagai kaum? Kita mesti positif tanpa cuma menjadikan Jawi sebagai hantu dengan rupa wajah menakutkan.

Cukuplah kita mengambil iktibar 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan yang lalu sudah memberi pengajaran amat besar bahawa memarakkan api perbezaan berkait perkauman seperti itu akhirnya ‘membakar diri’.

PAS percaya, GERAKAN sedia mendengar, berdialog dan berunding untuk lebih memahami usaha diketengahkan menerusi kempen tersebut tanpa terbawa-bawa sikap keterlaluan yang ditunjukkan DAP terutamanya.

Ada banyak aksara dan tulisan kaum di dunia ini, namun tidak ada yang ia memesongkan individu atau pihak lain dari asal usul dan pilihan kehidupan bebasnya. GERAKAN juga harus normal seperti itu.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Julai 2020 | 21 Zulkaedah 1441