22 JANUARI 1946 (SELASA)
PADA hari ini dalam tahun 1946, satu perintah bagi pembentukan Malayan Union yang dikenali sebagai ‘Surat Perintah 6724’, telah disiarkan dalam Warta Kerajaan. Berdasarkan kepada surat perintah inilah, Kertas Putih Malayan Union disediakan.
Kertas Putih itu membentangkan dasar Malayan Union yang menyatakan bahawa baginda King (British) mempunyai kuasa penuh ke atas negeri-negeri Melayu.
Kedudukan khas Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama dan adat istiadat orang-orang Melayu masih diakui dan Raja-raja Melayu akan menjadi ketua kepada Majlis Penasihat Melayu di negeri masing-masing yang ahli-ahlinya dilantik dengan persetujuan Gabenor.
Kertas Putih perjanjian Malayan Union ini, terang-terangan ingin menjadikan negeri-negeri Melayu sebagai tanah jajahan lnggeris dan memberikan hak yang sama kepada semua rakyat tanpa mengira keturunan bangsa dan agama.
Dasar Malayan Union ini mencabar kedudukan orang-orang Melayu. Hal ini kemudian melahirkan tentangan hebat daripada orang-orang Melayu hingga memaksa pihak Inggeris membubarkan Malayan Union.
Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia