Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Pelantikan Penasihat British yang pertama di Terengganu

2523
SHARE

24 MEI 1919 (SABTU)

PADA hari ini dalam tahun 1919, J.L. Humprey telah dilantik menjadi Penasihat British yang pertama di Terengganu.

Dengan pelantikan beliau ini gelaran ‘Wakil’ bagi pegawai-pegawai British yang ditempatkan di Terengganu dihapuskan dan digantikan dengan ‘Penasihat’ yang mempunyai bidang kuasa yang lebih luas jika dibandingkan dengan ‘Wakil’.

J.L. Humprey (Kredit foto : Google)

Peristiwa pelantikan Humphrey membawa erti yang besar kepada British kerana ia merupakan permulaan campur tangan British secara langsung di Terengganu.

Punca campur tangan British di Terengganu adalah hasil daripada perjanjian di antara British dengan Kerajaan Siam pada 30 Mac 1909.

Dalam perjanjian ini Kerajaan Siam bersetuju menyerahkan segala jajahan takluknya termasuk Terengganu kepada British.

Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III menganggap perjanjian ini tidak sah kerana Terengganu tidak pernah menjadi jajahan takluk Siam. Pengiriman bunga emas pada tiap-tiap tiga tahun sekali kepada Raja Siam itu hanya sebagai tanda persahabatan dan bukan sebagai ufti jajahan takluk.

Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III (Kredit foto : Google)

Walau bagaimanapun pada 22 April 1910 Sultan Zainal Abidin bagi pihak Kerajaan Terengganu telah menandatangani perjanjian persahabatan dengan Gabenor Sir John Anderson yang mewakili kerajaan British.

Melalui perjanjian ini Sultan Terengganu telah diperkenankan menerima seorang Penasihat British yang bertanggungjawab menasihatkan Baginda dalam segala perkara kecuali mengenai soal-soal agama Islam dan adat resam.

 

Di samping itu Kerajaan Terengganu tidak dibenarkan membuat sebarang perjanjian dengan kuasa asing kecuali dengan kebenaran Kerajaan British.

Sungguhpun demikian Sultan Terengganu masih dapat mempertahankan negerinya daripada dijajah British selama beberapa tahun.

Cita-cita kerjaan British menempatkan penasihatnya di Terengganu hanya dapat dipenuhi pada hari ini dalam tahun 1919. Dengan ini maka bermulalah era pemerintahan British di Terengganu setelah sekian lama wujud sebagai negeri yang merdeka.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .