Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Datuk Bahaman menawan semula Teluk Terua

2474
SHARE

9 MAC 1892 (RABU)

PADA hari ini dalam tahun 1892, Dato’ Bahaman atau Orang Kaya Semantan, menyerang dan menawan semula Lubuk Terua (satu tempat yang termasuk di dalam wilayahnya) dari kekuasaan Inggeris.

Meletusnya penentangan Dato’ Bahaman secara aktif terhadap Inggeris adalah akibat dari tindakan C.E.B. Desborough (Pemangku Pemungut Hasil Semantan) menangkap tiga orang pengikut Dato’ Bahaman dengan tuduhan mengumpul hasil hutan tanpa izin.

Penangkapan itu dilakukan ketika Desborough dan Townson (Merinyu Lombong) mengiringi satu pasukan Polis untuk memperkuatkan Balai Polis di Lubuk Terua, dan membawa ketiga-tiga tawanan itu untuk diadili.

Menyedari tentang hal itu, Dato’ Bahaman yang memang menentang keras pembinaan balai Polis di kawasannya itu dan percaya bahawa pasukan itu datang untuk menangkap beliau, telah menyerang pasukan Desborough, dan berjaya, membebaskan orang-orangnya.

Selepas itu Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya menawan Balai Polis Lubuk Terua dan memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan dan barangan kepunyaan Syarikat Lombong bijih Bentong dan Raub.

Sebelumnya, Dato’ Bahaman memang memusuhi Inggeris kerana menyekat dan menuduh beliau (dalam tahun 1889) memungut cukai secara haram dan memberi amaran, bahawa penerusan memungut cukai secara tradisi adalah dilarang sedangkan itu adalah hak tradisi beliau sebagai pembesar di daerahnya.

Inggeris juga menuduh beliau (pada tahun 1890) menulis surat kepada Residen Selangor, W.E. Maxwell meminta supaya Semantan dipersatukan dengan Selangor.

Bagaimanapun, kejayaan Dato’ Bahaman itu hanya sementara kerana tidak lama kemudian pihak Inggeris mengambil tindakan balas dengan menghantar satu pasukan seramai 300 orang yang diketuai oleh Tengku Ali, Clifford dan Wise (Majistret di Temerloh).

Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa mengundurkan diri sebagai satu strategi untuk melanjutkan penentangannya.

Penentangan beliau itu ternyata telah merebak ke seluruh Pahang dengan melibatkan banyak lagi tokoh yang seperjuangan dengan beliau seperti anaknya Mat Kilau, Panglima Muda Jempul, Tok Gajah, Tok Jelai, Mat Kelubi dan lain-lain.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia