Port Dickson, 7 JUN : Gelombang Perikatan Nasional dapat disaksikan apabila Pantai Bagan Pinang menjadi saksi acara “Ride2PD” anjuran Pemuda PAS Port Dickson (PD) dan Negeri Sembilan, Pemuda Perikatan Nasional ( ARMADA) bersama Alternative Riding Club (ARC) bagi Negeri Sembilan, Johor dan Melaka sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pagi kelmarin di sini.
Acara ‘Ride’ diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mahfuz Roslan, merangkap Ketua PAS PD serta melibatkan 500 orang peserta mengambil bahagian termasuk komuniti PD yang meminati acara tersebut.
Sempena program ‘Ride2PD’, pihak penganjur telah mengambil kesempatan dengan mengadakan aktiviti pembersihan pantai PD bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia 2023 yang disambut pada tarikh yang sama. Program ini bertujuan untuk melahirkan kesedaran kepada anak muda mengenai tanggungjawab menjaga kepentingan alam sekitar terutamanya pantai.
Selain itu, turut diadakan acara cabutan bertuah yang berupa barangan motorsikal bagi meraikan peserta yang hadir serta memeriahkan acara sambutan hari keputeraan pada hari tersebut.
Semoga sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini dapat memberi kebahagiaan dan kejayaan kepada Baginda serta membawa kebaikan dan kemakmuran kepada rakyat Malaysia.
Dirgahayu Tuanku.