Home Artikel PAS Selangor

Gelombang Munajat Akifi Peringkat Negeri Selangor Anjuran Lajnah Politik Dewan Muslimat PAS Malaysia

213
SHARE

Oleh Khaulah Al Azwar

HULU LANGAT, 20 September 2019 – Lajnah Politik Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah menganjurkan program Gelombang Munajat Akifi peringkat Negeri Selangor di Kompleks Tarbiyah Darul Hidayah di sini semalam.

Program yang dihadiri Ketua Muslimat PAS Malaysia, YB Senator Ustazah Nuridah bt Mohd Salleh diiringi barisan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor adalah program bersiri yang dilaksanakan seluruh negara secara berkala.

Program yang disifatkan satu strategi menuju kemenangan melalui pengukuhan ikatan dengan Allah, pemerkasaan tarbiyah serta tautan ukhuwah ahli dihadiri hampir 100 orang ahli dari Kawasan Hulu Langat, Ampang dan Sepang.

Program ini dimulai dengan iftar, solat berjemaah, bacaan Yasin, munajat Akifi dan disemarakkan dengan ucapan taujihat oleh kekanda Ustazah Nuridah. Beliau menyeru agar semua lapisan Muslimat mengukuhkan tarbiyah dan mendisiplinkan diri melazimi munajat dan doa.

“Kita hendak beramal dengan apa yang dinyatakan oleh baginda Rasulullah saw ‘Addua’ silahul mukmin’, doa senjata orang-orang yang beriman. Dan di dalam Quran dinyatakan, antara ciri-ciri mukmin yang menang dan berjaya adalah yang khusyuk di dalam solat. Maka solat, doa serta munajat merupakan senjata ampuh yang perlu kita perhebat demi menjatuhkan kuasa chauvanis DAP di dalam PRU15.

“Agenda PAS sangat besar untuk mendaulatkan Islam dalam negara. Usaha untuk merealisasikannya bukan usaha yang kecil. Maka usaha bermunajat ini merupakan salah satu usaha paling minima yang wajib dilaksanakan setiap Muslimat”, pesan beliau memberi amanah.

Beliau turut menyorot sejarah Singapura yang asalnya adalah tanah Melayu tetapi kini hanya 12% orang Melayu menempati pulau itu. Tanpa strategi dan tanpa kuasa politik, tidak mustahil sejarah akan berulang dan negara akan didominasi pelampau bangsa DAP yang bercita-cita memadamkan identiti dan warisan Melayu Islam.

Di kesempatan ini juga, beliau menyeru dan menegaskan harapan agar semua Muslimat akar umbi untuk bersama-sama membaca doa rabithah dan qunut nazilah pada setiap hari jam 10 malam.

Program yang bermula jam 6 petang hingga 10.30 malam ini bukan sahaja berjaya menguatkan tarbiyah bahkan merapatkan ukhuwah antara ahli dan pimpinan Muslimat PAS Malaysia dan Negeri Selangor yang turut hadir.