Home Berita PAS Johor

Gabungan tenaga PAS Muar serlah kebersamaan bantu mangsa banjir

62
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 20 Jan : Gabungan tenaga pasukan PAS Muar terus komited memberi sumbangan bantuan kepada mangsa banjir di lokasi-lokasi yang terjejas teruk.

Yang Dipertua PAS Muar, Abd Aziz Talib bersama beberapa orang ahli jawatankuasanya telah turun ke Bilik Operasi (BO) di PASTI As Salam, Panchor di sini, semalam dengan menyerahkan sumbangan barangan berupa bantal dan tilam.

Terdahulu, PAS Muar yang diwakili Jabatan Amal Malaysia (JAM) Muar, Ameerah Muar, Dewan Ulama Muar dan Assabiqun Muar seramai 23 orang telah turun menjayakan operasi bantuan banjir pada 15 Januari di daerah Lenga dan Pagoh.

Menurut Ketua Pemuda Muar, Hadi Abu Bakar menyatakan walaupun dalam keadaan keputusan bekalan air, namun beberapa buah rumah dapat dibersihkan dengan bekalan air yang terhad.

“Selain daripada itu, kerja-kerja hasil gabungan bersama anggota JAM Negeri Johor dan Khidmat Malaysia Johor kerja teknikal seperti wiring dan pertukangan dapat dilaksanakan di beberapa buah rumah, ” kata beliau.

Anggota lain dari Dewan Ulama dan Assabiqun termasuk YDP sendiri membantu di BO bagi urusan pembungkusan dan menyusun barang sumbangan yang disumbang oleh NGO Geng Ustaz dari Selangor diketuai oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Sementara itu, anggota Ameerah Muar pula dengan kerjasama Pertubuhan Kasih Maharani Muar telah turut menyampaikan 20 set Kit Wanita kepada mangsa pasca banjir di Pagoh.

“Sumbangan adalah hasil dari kutipan yang dibuka sejak 28 Disember 2021 yang lalu. Kandungan kit berupa telekung, sejadah, panties, tudung sarung, stoking dan sedikit wang tunai,” kata Ketua Ameerah Muar, Ummu Rifqi Anuar.

Beliau turut menyatakan PAS Kawasan Muar sebagai mewakili entitinya yang terlibat dalam operasi banjir di Segamat dan Pagoh mengucapkan terima kasih kepada semua para penyumbang.