Baru-baru ini dengan tegas saya menzahirkan rasa kebimbangan terhadap fenomena air pasang besar yang kerap kali berlaku di sekitar kawasan Kuala Kedah.
Kerisauan ini turut melibatkan keselamatan penduduk kampung di sana terutamanya anak-anak kecil. Justeru itu, saya telah membangkitkan isu berkaitan fenomena air pasang ini kepada Kementerian Alam Sekitar & Perubahan Iklim.
Kemudian, pihak Menteri memberikan maklum balas terhadap soalan yang diajukan tersebut.
Antara maklumat yang kami terima, jelas kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran JPS sedang membangunkan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Shoreline Management Plan-ISMP).
Merujuk ISMP Negeri Kedah, pihak itu akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan seperti berikut:
- Membina ban pantai di perimeter Selatan & Timur Kota Kuala Kedah.
- Membaiki ban pantai yang telah musnah atau rosak.
- Menambah ketinggian aras ban.
- Memantau aras ban sedia ada agar ianya efektif ketika air pasang berlaku.
- Membina perlindungan di tepi pantai bagi ban yang mengalami kehakisan.
Walaupun soalan dijawab. Namun, saya masih lagi tidak berasa senang dengan jawapan tersebut. Persoalannya, adakah tindakan yang diambil oleh pihak kementerian dikira cukup untuk memastikan masalah ini tidak berulang?
Kedua, berapa lama lagi kami di Kuala Kedah terpaksa menahan sabar? Berapa lama tempoh penyelenggaraan ini akan siap?
Adakah kerja-kerja ini bagai melepas batuk di tangga?
YB Dr. Ahmad Fakhruddin
Ahli Parlimen Kuala Kedah