Home Berita PAS Negeri Sembilan

Fadli Calon Perikatan Nasional N09 Lenggeng

163
SHARE

Oleh HIDAYAH AR

SEREMBAN, 27 Julai : Mohd Fadli Che Me telah diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dun N09 Lenggeng dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan bermula lebih kurang dua minggu lagi.

Pengumuman calon-calon yang bertanding mewakili Perikatan Nasional bagi Pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah diumumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional Negeri, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Ahmad Azumu dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN di Dewan KRS Bandar Warisan Puteri, di sini semalam.

Mohd Fadli diamanahkan untuk bertanding di kerusi Dun N09 Lenggeng kali ini sebagai calon daripada Perikatan Nasional.

Beliau yang juga merupakan YDP PAS Kawasan Lenggeng dijangka bakal bertembung dengan Mohd Asna Amin, calon Barisan Nasional berdasarkan pengumuman calon yang telah dibuat oleh parti itu baru-baru ini.

Menurut laman SPR, pada Pilihan Raya umum (PRU-14), calon yang bertanding di DUN 09 Lenggeng daripada parti PAS ialah Mohammad Ghazali bin Abu Bakar yang berhadapan dengan dua calon lain daripada PKR-PAN, Ustaz Suhaimi Kassim dan Barisan Nasional (BN), Mazalan bin Maarop.

Mohammad Ghazali hanya memperolehi 1,612 undi, tewas kepada parti lawan daripada PKR-PAN, Ustaz Suhaimi Kassim dengan memperolehi 7,456 undi manakala BN dengan calonnya Mazalan mendapat 6,470 undi dengan majoriti 986 undi.

Pada PRU ke-14 yang lalu Negeri Sembilan telah mencatatkan Pakatan Harapan mendapat 20 kerusi, Barisan Nasional (16), manakala PAS tidak memenangi sebarang kerusi dari 27 kerusi yang ditandingi.

PRN Negeri Sembilan diadakan setelah berlaku pembubaran DUN oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun setelah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 1 Julai lepas.

Tarikh penamaan calon bagi Pilihanraya Negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos dan tarikh keluar mengundi pada 12 Ogos.