Oleh IBNU JANIE
PERANAN PAS dalam membantu orang ramai ketika berdepan bencana seperti banjir dan lain-lain bukan lagi menjadi sesuatu yang asing. Selain PAS sebagai organisasi penaung terdapat berbagai-bagai organisasi atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) di bawahnya yang ditubuhkan untuk melicinkan tugas-tugas membantu rakyat ketika berlaku bencana.
Tentera semut merah, gelaran yang diberi kepada anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM), organisasi yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Organisasi yang dahulu dikenali sebagai Unit Amal sudah hampir tiga dekad, ditubuhkan pada 16 Februari 1991, sudah benar-benar sinonim dengan apa-apa misi bantuan pasca bencana dalam negara ini.
Selain itu NGO-NGO di bawah PAS ini bukan sahaja bergerak di dalam negara malah turut bergerak ke luar negara seperti Muslim Care Malaysia (MCM) yang banyak melakukan misi-misi bantuan ke negara dilanda krisis.
Kemudian Khidmat Malaysia telah diwujudkan bagi menyelaraskan organisasi-organisasi dan NGO-NGO di bawah PAS ini. Ia sebenarnya ditubuhkan pada tahun 2014 dengan nama Malaysia Emergency & Disaster Management (MEDM). Kemudiannya ditukar nama kepada Khidmat Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia dengan singkatan, ‘Khidmat Malaysia’.
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak 10 Januari 2022
Khidmat Malaysia dipertanggungjawabkan untuk menyelaras segala pergerakan organisasi bantuan di dalam PAS. Ia menyelaraskan operasi bencana oleh JAM, Lajnah Kebajikan, Ameerah dan lain-lain NGO bawah PAS.
Segala organisasi di bawah PAS ini bukan sahaja memainkan peranan membantu bencana semasa PAS berada dalam kerajaan seperti sekarang namun semenjak PAS masih lagi pembangkang.
Ini ditambah lagi dengan Khidmat Malaysia pada masa ini dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, menjadikan peranan PAS dalam membantu rakyat di kala bencana menjadi lebih berkesan.
Kejadian banjir besar yang berlaku di banyak tempat di seluruh negara bermula 18 Disember baru-baru ini telah menggerakkan semua organisasi-organisasi di bawah Khidmat Malaysia bermula dengan banjir besar yang berlaku.
Tidak sekadar menghantar sukarelawan-sukarelawan dengan peralatan-peralatan ringkas sahaja, Khidmat Malaysia juga telah menyewa 22 jentera berat bagi kerja pembersihan di lima kawasan dilanda banjir di Selangor.
Sebagai solidariti terhadap saudara-saudara di Selangor, seramai 300 tenaga sukarelawan di bawah Khidmat Malaysia Kedah telah berkampung selama empat hari iaitu pada 25 hingga 28 Disember di Shah Alam dan Hulu Langat yang teruk terjejas banjir.
JAM pula membantu Kampung Orang Asli Paya Lebar, Sungai Lui Hulu Langat bagi membaiki infrastruktur saluran paip air bersih sepanjang dua kilometer dari Gunung Hitam bagi kegunaan 250 keluarga penduduk orang Asli di situ.
Bukan sekadar berpenat-lelah, malah ada anggota JAM yang dipanggil menghadap Ilahi semasa bertugas. Ini terjadi kepada Komandan Amal Mersing, Almarhum Ahmad Zaki Mahbar meninggal pada 24 Disember di Sepang Selangor. Almarhum meninggalkan balu Zarina Zainol dan empat orang anak berumur 16, 14, 10 dan empat tahun
Selain NGO-NGO ini, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) melalui Jabatan PASTI turut melibatkan diri dalam program-program bantuan untuk mangsa-mangsa banjir, lebih-lebih lagi banyak premisnya turut terjejas.
Selain menganjurkan dana-dana kutipan, ia turut menghantar guru-guru PASTI membantu membersihkan premis-premis PASTI yang terjejas ini seperti yang dilakukan oleh PASTI Melaka baru-baru ini yang turut sama ke Temerloh Pahang bagi membantu.
Selain itu, PASTI Perlis pula melancarkan kempen sumbangan RM1 kepada murid, guru, staf, ibu bapa, untuk bantu PASTI negeri-negeri terlibat banjir.
Koperasi milik ahli-ahli PAS, Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad (Kohilal) juga tidak ketinggalan membantu. Antaranya, koperasi ini telah membantu mangsa banjir melalui program tanggung jawab sosial korporat (CSR) di Kawasan Ijok dan Sungai Buloh, Selangor.
Ini menjadikan organisasi-organisasi yang berada di bawah PAS bergerak membantu rakyat dalam saf yang tersusun seperti firman Allah SWT dalam Al Quran, surah As-Saff ayat 4 “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
Penulis adalah Ketua Unit Berita dan Editor Berita PAS Melaka