Home Berita PAS Perak

E-Sistem NGO Permudah Proses Permohonan Peruntukan

682
SHARE

Image may contain: 1 person, standing and screenIPOH, 4 Ogos 2020 – Seiring Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), Negeri Perak telah membangunkan portal e-Sistem NGO bagi melicinkan urusan antara Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan Pentadbiran Kerajaan Negeri yang menggunakan internet sebagai medium.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, YB Razman Zakaria berkata, portal tersebut adalah bagi menambahbaik sistem pengurusan sumbangan dan kolaborasi NGO dengan pihak kerajaan supaya lebih sistematik dan mesra rakyat.

“Kita cuba selaraskan proses permohonan dana NGO, pihak pelaksana juga cuba untuk elakkan permohonan bertindih supaya peruntukkan dan manfaat ini dapat dirasai oleh semua NGO dan masyarakat dengan adil.

“Pemohon hanya isi borang secara atas talian dan semak status di portal tersebut dari semasa ke semasa sama ada permohonan diterima atau ditolak” tambah beliau.

Tegasnya, proses permohonan mengambil masa lebih singkat berbanding proses permohonan secara manual yang memerlukan pemohon hadir dan hantar borang permohonan ke pejabat exco.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, YB Khairul Shahril Mohamed berkata inisiatif ini dapat membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita dapat memantau NGO yang telah memohon dan rekod yang ada diguna pakai untuk menilai aliran dana tersebut selain memastikan permohonan yang telah lulus tidak diluluskan lagi melalui kertas kerja sama” jelas beliau.

Tegasnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peruntukan setiap exco dikurangkan bagi menampung keperluan menangani Pandemik Covid-19.

Sehubungan dengan itu, kesemua permohonan perlu diteliti dan diproses dalam tempoh sekurang-kurangnya lima hari bekerja sebelum diluluskan.

Portal e-Sistem merupakan portal kendalian Digital Perak bagi melicinkan urusan permohonan peruntukkan oleh NGO kepada Kerajaan Negeri dan pernah beroperasi pada 2019 sebelum dihentikan sementara semasa peralihan kerajaan.

Pemohon boleh layari laman sesawang digital.perak.my bagi maklumat lanjut selain isi permohonan di portal itu.

Kerajaan Negeri memahami dan sentiasa mendengar keluhan rakyat, sehubungan itu, NGO diseru untuk terus memperjuangkan kepentingan awam bagi menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Perak.

Sumber: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]