Home Berita PAS Melaka

E-buku : Rahmat besar buat golongan penulis dan pembeli buku

1015
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

BARU-BARU ini penulis ada mengikuti satu kursus dalam talian untuk membina e-buku. E-buku adalah buku yang dicetak dan disebarkan secara elektronik dan bukan secara cetakan fizikal.

Satu isu paling besar yang terkait dengan perbincangan tentang perkara ini yang menarik perhatian penulis ialah soal kos pengeluaran dan harga jualan buku cetak berbanding e-buku.

Jika kita melihat kepada situasi sekarang harga sebuah buku cetak sudah menjadi semakin mahal. Sebagai seorang yang pernah membuka kedai buku satu masa dahulu, penulis melihat harga buku pada masa ini sudah semakin tinggi jika disukat berdasarkan bilangan muka surat dan saiz buku.

Sebagai contoh, sebuah buku yang pada tahun 2010 dijual dengan harga RM20, namun dengan bilangan muka surat dan saiz yang sama, pada hari ini ia sudah mencecah RM30. Kenaikan ini antaranya disebabkan kenaikan dalam kos-kos yang terlibat dalam percetakan.

Untuk sebuah buku cetak biasanya akan melibatkan pecahan kos seperti berikut:
• 25 peratus kos pra dan percetakan
• Lima peratus royalti penulis
• 20 peratus margin keuntungan penerbit
• 20 peratus margin keuntungan pemborong
• 30 peratus margin keuntungan peruncit (kedai buku).

Kita ambil contoh sebuah buku dengan harga jualan bernilai RM10. Dari nilai atau harga buku itu, 25 peratus atau RM2.50 adalah kos pra-percetakan dan percetakan. Lima peratus atau 50 sen adalah royalti kepada penulis. Dengan itu kos yang ditanggung penerbit ialah sebanyak 30 peratus atau RM3 dari buku berharga RM10.

Penerbit pula akan menjual kepada pemborong pada harga RM5. Dengan itu penerbit mengambil untung RM2 atau 20 peratus dari harga buku yang bernilai RM10 tadi.

Pemborong pula akan menjual kepada kedai buku pada harga RM7. Ini bermakna pemborong mengambil untung sebanyak RM2 atau 20 peratus dari harga buku itu tadi.

Kemudian pekedai buku pula akan menjual buku tadi kepada pelanggan pada harga RM10 dengan margin keuntungan RM3 atau 30 peratus dari harga buku.

Namun dengan menggunakan e-buku seseorang penulis boleh menerbit dan menjual terus bukunya kepada pembaca dengan mengabaikan kos percetakan, margin keuntungan penerbit, margin keuntungan pemborong dan margin keuntungan peruncit.

Sebenarnya selama ini memang golongan penulis menghadapi masalah royalti yang diterima oleh mereka sangat rendah. Biasanya mereka akan menerima dari empat hingga enam peratus bagi penulis baharu. Namun bagi penulis terkenal mungkin mereka boleh ditawarkan sehingga 15 peratus. Dan tidak ramai penulis yang menerima royalti setinggi itu. Namun secara umumnya royalti yang diterima penulis buku masih rendah.

Kos yang terlibat dalam menerbitkan e-buku pula hanyalah kos rekabentuk e-buku sekiranya penulis inginkan sebuah e-buku dengan kualiti profesional. Kos ini berlaku sekali sahaja pada masa ia mula-mula diterbitkan. Namun sekiranya penulis boleh melakukan sendiri rekabentuk buku itu bermakna tiada kos yang terlibat dalam penerbitan buku itu. Selain itu adalah kos pengurusan laman web.

Seorang penulis novel yang menulis sebuah karya yang dijual pada harga buku cetak bernilai RM30 mungkin menerima royalti sebanyak RM1.50 atau lima peratus dari harga novel cetak itu.

Namun jika dia menerbitkan manuskrip novelnya itu dalam bentuk e-buku dia mungkin boleh menjualnya pada harga RM10 sahaja. Dengan menjual pada harga RM10 penulis itu akan mendapat 100 peratus hasil jualan itu sebanyak RM10 sebagai royaltinya.

Jika dibandingkan dengan percetakan konvensional, untuk seorang penulis mendapat royalti sebanyak RM10 iaitu pada kadar lima peratus dari harga buku, mereka perlu menulis sebuah buku yang dijual pada harga RM200 sebuah!

Seseorang pembeli yang membeli buku cetak juga perlu menanggung kos penghantaran sekiranya pembelian itu dibuat secara dalam talian. Namun untuk e-buku tiada kos tambahan untuk caj penghantaran kerana ia berlaku secara maya. Ia juga akan diterima oleh pembeli dalam masa itu juga berbanding dengan buku cetak yang memakan masa berhari-hari untuk tiba ke tangan pembeli.

Kerana itu pada pendapat penulis e-buku ini sebenarnya adalah rahmat kepada golongan penulis dan juga pembeli buku. Golongan penulis boleh mendapat hasil yang besar dan pembaca pula boleh membeli dengan kos yang jauh lebih rendah.

Memang banyak juga kita lihat mereka yang menjual e-buku dengan harga yang sangat mahal sehingga mencecah RM150. Namun itu antaranya disebabkan penulis e-buku yang menjual panduan-panduan yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan dan perniagaan. Ia adalah seperti satu ‘coaching’, kerana itu ia dijual pada harga yang sangat mahal.

Sepanjang pemerhatian penulis, bagi buku-buku pengetahuan umum, agama, motivasi atau novel biasanya tidak dijual dengan harga begitu mahal seperti itu.

Selain dari harga e-buku yang jauh lebih murah berbanding buku cetak ia juga menjimatkan ruang penyimpanan jika kita menggunakan e-buku berbanding buku cetak.

Seseorang yang suka membaca novel mungkin terpaksa membawa satu beg novel untuk dibawa ke percutian. Tetapi dengan e-buku dia boleh membawa walau pun 100 naskhah novel yang hanya perlu dimuatkan di dalam telefon pintarnya sahaja.

Sama juga dengan mereka yang suka membaca buku di dalam komuter atau LRT juga tidak perlu lagi membawa buku cetak di dalam beg tangan. Semuanya ada di dalam telefon pintar.

Harakah juga pada masa ini sedang sibuk mempromosikan ‘Harakah e-paper’. Ia juga adalah salah satu bentuk e-buku tetapi dalam format akhbar.

Dan penulis melihat ‘trend’ ini semakin berkembang dan diterima pembaca. Mungkin satu masa nanti kita tidak akan berjumpa lagi dengan buku cetak yang akan lenyap umpama lenyapnya kaset dan pita video VHS.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

(Rencana ini pernah disiarkan di Harakah cetak Edisi Jumaat 10 Julai lepas)


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)