Home Dewan Ulamak PAS Pusat

DUPP : Selamat Hari Wartawan Nasional 2020

654
SHARE

PERUTUSAN KHAS
Dewan Ulamak PAS Pusat

6 SYAWAL 1441H  l  29 MEI 2020

SELAMAT HARI WARTAWAN NASIONAL 2020

Firman Allah SWT :

فَمَكَثَ غَیۡرَ بَعِیدࣲ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمۡ تُحِطۡ بِهِۦ وَجِئۡتُكَ مِن سَبَإِۭ بِنَبَإࣲ یَقِینٍ

Maksudnya :
Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya. – [Surah al-Naml : 22]

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merakamkan ucapan Selamat Hari Wartawan Nasional 2020 yang terus komited menjalankan tugasan menghebahkan dan menyampaikan isu, maklumat dan berita kepada semua masyarakat.

Wartawan merupakan satu kerjaya dalam industri media massa, yang merangkumi surat khabar, majalah, televisyen, radio dan internet. Seorang wartawan bertugas untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat tentang berita terkini, orang ternama, tren dan isu-isu yang relevan. Wartawan juga termasuk pengarang, editor, pemberita, penyiar, pembaca berita dan lain-lain.

Islam amat menitik beratkan etika penyampaian sesuatu berita dan maklumat dengan memastikan :

1. Maklumat yang sahih.
2. Bersikap adil berpaksikan kebenaran.
3. Tidak mencampur adukkan antara kebenaran dan kebatilan.

Hebahan yang dituntut ialah hebahan yang menanamkan nilai yang baik dalam informasi yang disebarkan kepada, individu, masyarakat dan negara bagi memastikan kefahaman ke arah menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran dalam kehidupan semasa. Inilah asas yang membezakan antara kewartawanan Islam dengan kewartawanan konvensional.

Medium media massa kini merupakan medium yang sangat penting untuk dimanfaatkan kerana capaian yang lebih meluas. Namun, perlu berhati-hati sekiranya etika kewartawanan tidak diseimbangkan antara nilai duniawi dan ukhrawi ia boleh menjadi bahana yang dahsyat. Inilah ancaman dari Allah SWT agar hati yang memikirkan dosa pahala membentuk karakter peribadi wartawan yang unggul serta mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Firman Allah SWT :

إِنَّ ٱلَّذِینَ یُحِبُّونَ أَن تَشِیعَ ٱلۡفَـٰحِشَةُ فِی ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِیمࣱ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِۚ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Maksudnya :
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). – [Surah An-Nur 19]

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)