Home Rencana PAS Johor

DUPNJ : Iktibar pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

79
SHARE

PATUH PERINTAH ALLAH : IKTIBAR DARI PENGORBANAN NABI IBRAHIM A.S DAN NABI ISMAIL A.S

“Wahai Nabi Ibrahim, tunaikanlah Nazarmu”

Nabi Ibrahim A.S terjaga daripada mimpi. Terkejut kerana ayat di dalam mimpi berkenaan. Nabi Ibrahim A.S tidak pasti sama ada ini adalah perintah Allah SWT atau mimpi dari syaitan.

Begitulah permulaannya kepada perayaan kedua terbesar bagi umat Islam iaitu perayaan Hari Raya Aidiladha. Ia juga dipanggil Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.

Mengapa Hari Raya Korban?

Nabi Ibrahim A.S mula bermimpi pada 8 Zulhijjah (malam Tarwiyah). Namun, mimpi Nabi Ibrahim A.S bukan berhenti setakat itu tapi ia berlanjutan sehingga ke 9 Zulhijjah dan 10 Zulhijjah.

8 Zulhijjah dipanggil malam Tarwiyah yang bermaksud fikir kerana peristiwa Nabi Ibrahim A.S memikirkan adakah mimpi itu perintah dari Allah SWT atau gangguan syaitan semata.

9 Zulhijjah digelar Arafah yang bermaksud pasti kerana Nabi Ibrahim A.S pasti mimpi tersebut daripada perintah Allah SWT.

10 Zulhijjah atau digelar sebagai Nahrun iaitu sembelih setelah Nabi Ibrahim A.S yakin bahawa Allah SWT memerintahkan baginda untuk melakukan penyembelihan.

Nabi Ibrahim mempunyai anak lelaki iaitu Nabi Ismail A.S. Nabi Ibrahim A.S memberitahu kepada Nabi Ismail A.S tentang mimpinya itu.

Nabi Ismail A.S bersetuju untuk membenarkan ayahandanya menyembelih dirinya. Inilah tanda orang yang bertaqwa dan tinggi keyakinan atas perintah Allah SWT.

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah). Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).”
(Surah As-Saffat : 103)

Namun, dengan kuasa Allah SWT, percubaan menyembelih Nabi Ismail A.S tidak berjaya. Bahkan tiada sikit luka pun di leher Nabi Ismail A.S.

Allah SWT berfirman :
“Dan Kami (Allah) menyeru : Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau membenarkan mimpi itu dan sesungguhnya Kami membalas orang yang berbuat baik”.
(Surah As-Saffat : 105)

Kemudian Jibril A.S muncul bersama seekor kibas sebagai pengganti.

Firman Allah SWT :
“Dan Kami tebus anaknya dengan seekor binatang sembelihan yang besar”.
(Surah As-Saffat : 107)

Begitulah juga amalan masyarakat Muslim sehingga kini. Dengan menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S, melahirkan rasa tawadhuk dan ketaatan dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Semoga kita semua memperoleh taqwa yang tinggi kepada Allah SWT dan menjadikan Sirah Nabi sebagai tauladan sepanjang zaman.

USTAZ AZLISHAM AZHAR
Ketua
Dewan Ulama’ PAS Negeri Johor
22 Julai 2021 | 12 Zulhijjah 1442H

#Aidiladha1442H
#MalaysiaSejahtera
#SejahteraBersamaIslam