Home Kenyataan Media PAS Johor

Aidiladha | Antara pandemik dan pengorbanan

19
SHARE

AIDILADHA 1442H : ANTARA PANDEMIK DAN PENGORBANAN

Umat Islam seluruh dunia menyambut perayaan Aidiladha atau Hari Raya Haji atau juga dikenali Hari Raya Korban buat kali kedua ianya diraikan dalam suasana pandemik Covid-19.

Perayaan terbesar umat Islam ini yang lazimnya disambut dengan kemeriahan bersama ahli keluarga dan sanak saudara kini telah berubah tidak lagi semeriah dahulu.

Amalan ibadah haji di tanah suci Mekah disekat dengan hanya dibenarkan kepada penduduk tempatan di sana sahaja, bahkan ibadah solat masjid-masjid juga masih kekal dengan jumlah yang terbatas dan penjarakkan antara jemaah.

Ibadah korban menyembelih ternakan juga terpaksa dihadkan dengan amalan SOP yang sangat ketat.

Inilah kekangan-kekangan yang terpaksa dihadapi dalam perlaksanaan ibadat dan sambut perayaan diwaktu pandemik ini.

Namun, apabila para ulama’ telah berijtihad dan pemimpin Islam telah membuat ketetapan demi kemaslahatan ummah maka ianya menuntut kepada pengorbanan jiwa yang tinggi untuk memberikan kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan.

Fahami maksud Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa ayat 59, Allah SWT memerintahkan supaya taat kepada Allah dan Rasul dan juga kepada para pemimpin.

Kesihatan dan keselamatan jiwa adalah lebih utama, tiada maknanya gembira jika akhirnya kita berduka kerana terkena jangkitan dan mengakibatkan kematian.

Hakikat kepada ibadah umat Islam adalah melakukan taat kepada Allah SWT.

Hakikat kepada kegembiraan umat Islam juga ialah untuk mendapat redho Allah SWT.

PAS Johor menyeru khususnya kepada umat Islam negara ini supaya akur kepada segala arahan pihak kerajaan untuk mematuhi semua peraturan walaupun dalam kegembiraan menyambut perayaan Aidiladha ini.

Sama-sama kita panjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar pandemik Covid-19 segera berakhir.

RUSMAN BIN KEMIN
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ