Home Artikel PAS Pusat

Dunia Islam di Afrika : Islam di Uganda.

65 views
SHARE

Saya diberikan kesempatan untuk menyertai Persidangan Ahli-Ahli Parlimen Komenwel yang diadakan di Uganda beberapa minggu yang lalu. Ia satu pengalaman yang menarik apabila melihat delegasi yang begitu ramai dari negara-negara Komenwel, negara bekas jajahan British dahulu. Delegasi dari Malaysia sahaja tidak kurang dari 80 orang, samada yang mewakili Parlimen Malaysia ataupun Dewan Undangan Negeri-Negeri.

PAS diwakili oleh dua Speaker DUN dari dua buah negeri yang berada di bawah pemerintahannya iaitu Speaker DUN Kelantan; Dato Abdullah dan Dato Abdul Fattah, Timbalan Speaker. Adapun Terengganu pula diwakili oleh Dato Yahya Ali selaku Speaker DUN Terengganu, YB Ustaz Hisyamuddin Abdul Karim dan saya sendiri di samping pegawai-pegawai dari negeri masing-masing. Dalam artikel ini saya tidak mahu mengulas tentang persidangan ini kerana bagi saya ia hanya lebih bersifat pertemuan sosial sahaja, namun begitu persidangan ini juga menjadi medan untuk menimba ilmu dan berkongsi pengalaman – pengalaman baru seperti pemerkasaan sistem demokrasi dari sudut pemisahan kuasa antara legislatif dan eksekutif. Walaubagaimanapun bagi saya ia bukanlah satu kebanggaan untuk berhimpun mewakili negara-negara yang dijajah oleh bekas penjajah. Apa yang lebih penting ialah dapat melihat dan menyaksikan suasana Islam di sebuah negara yang agak asing dan lewat menerima Islam berbanding negara-negara lain di sekitarnya.

Kedudukan Uganda
Uganda ialah sebuah negara yang terletak di Timur Afrika yang bersempadan dengan Selatan Sudan di sebelah utara, Rwanda di sebelah selatan, Kenya di sebelah timur dan Congo di sebelah barat. Ibu negaranya ialah Kampala dan majoriti penduduk Uganda bertutur dalam bahasa Swahili dan Inggeris. Uganda juga dikenali sebagai The African Great Lakes Region kerana di bahagian utara negara tersebut terdapat banyak tasik dan salah satu daripadanya ialah Lake Victoria, tasik terbesar di Afrika dan salah satu tasik yang terbesar di dunia.

Jumlah penduduk Uganda adalah seramai 41 juta orang mewakili tidak kurang daripada 70 kabilah dan puak. Daripada jumlah itu, majoritinya beragama Kristian iaitu seramai 60 peratus, penganut Islam seramai 30 peratus dan selebihnya mengikut ugama syirik asal nenek moyang mereka. Uganda adalah sebuah negara republik dan Presiden Uganda sekarang ialah Yoweri Kaguta Musewini dan telah menjadi Presiden Uganda sejak 1986.

Uganda ialah sebuah negara naungan British ( protectorate state ) sejak 1894 dan telah diperintah dan dinaungi oleh British selama 68 tahun. Akhirnya Uganda mencapai kemerdekaan pada 9hb Oktober 1962. Uganda adalah kesinambungan daripada Kerajaan Beraja Buganda yang telah lama bertapak sejak dari kurun ke 14. Walaupun Uganda telah merdeka dan telah wujud Republik Uganda, sistem beraja Buganda masih wujud dan diletakkan di bawah Kerajaan Uganda sebagaimana kebanyakkan sistem monarki yang bertapak di dunia sekarang.

Islam di Uganda
Kedatangan Islam ke Uganda dan negara-negara Afrika Timur lainnya agak lewat kecuali Kenya di sebelah timurnya. Ini disebabkan kedudukannya di tengah yang tidak mempunyai akses ke lautan luas menyukarkan pendakwah-pendakwah untuk sampai berbanding Kenya yang bersempadan dengan Lautan Hindi yang menjadi salah satu tempat persinggahan pedagang Islam dari negara-negara Arab dan India. Justeru perkembangan Islam di Kenya agak awal berbanding dengan negara-negara Afrika Timur lainnya.

Mengikut sejarah dipercayai bahawa Islam telah masuk ke Uganda pada pertengahan kurun ke 19 melalui utara dan jalan darat perdagangan Timur Afrika pada zaman pemerintahan Kabaka Mutesa I, iaitu Raja yang memerintah Negara Buganda ( Uganda ) ketika itu. Islam tersebar melalui pedagang – pedagang yang datang dari Kenya dan Tanzania sebelah Timur serta Somalia, Mesir dan Sudan dari sebelah Barat. Majoriti pedagang – pedagang Arab dan beragama Islam pada masa itu kebanyakkannya berdagang membawa senjata, belerang, kain dan garam untuk ditukarkan dengan gading dan barangan tempatan.

Ketika zaman pemerintahan Kabaka Mutesa I inilah Islam berkembang pesat di Uganda dan dipercayai juga bahawa Kabaka Mutesa I telah memeluk agama Islam akibat daripada kepesatan dakwah Islam di Uganda ketika itu. Tasik Victoria yang menjadi sempadan di antara tiga negara iaitu Uganda, Kenya dan Tanzania boleh dikatakan adalah antara jalan utama pedagang Arab dan pedagang Islam yang lain pada ketika itu. Di antara pedagang tersebut, Ahmed bin Ibrahim adalah pedagang Islam yang terkenal ketika itu di Uganda.

Mengikut catatan sejarah, beliau adalah pedagang yang berjaya mempengaruhi Raja Baganda ketika itu untuk membuka negara tersebut kepada pedagang dalam usaha untuk memakmurkan negara Baganda. Beliau juga adalah pendakwah terkemuka yang berjaya membuka ruang kepada Islam untuk bertapak di Baganda pada masa itu. Di atas usaha dakwah beliau, Raja Baganda telah memeluk agama Islam namun kemudiannya murtad apabila diminta untuk berkhitan, ini kerana ia melanggar adat seorang raja menumpahkan darah di tanahairnya. Peristiwa ini memberikan pengajaran agar pendakwah-pendakwah mestilah berilmu dan bijaksana dalam menyampaikan Islam. Namun begitu di atas usaha beliau, Islam berkembang pesat di Uganda dan bertapak kukuh sebagaimana dilihat hari ini.

Selepas pedagang – pedagang Arab dan Islam memasuki Baganda berdagang dan berdakwah serta mendapat tempat di kalangan penduduk dan pemerintah, pada tahun 1877 mubaligh – mubaligh Kristian mula memasuki Baganda dan menyebarkan agama Krisitian. Sepanjang sejarah Baganda mahupun Uganda, telah tercetus beberapa rusuhan mahupun kekecohan yang membabitkan perseteruan di antara agama yang membabitkan penduduk beragama Islam mahupun Krisitian. Nyatanya Islam sebagai minoriti telah menerima nasib yang agak malang ketika kekecohan tersebut hingga ada yang terkorban nyawa. Sebagaimana di Dunia Islam lain, ancaman Kristian evengalist turut menjadi masalah utama umat Islam Uganda ketika ini. Sikap ekstream mereka menjadi perbualan hangat dan ancaman kepada umat Islam di Uganda. Walaupun ketika ini masih terkawal, ancaman tersebut menjadi tetap masalah utama buat umat Islam di Uganda.

Uganda selepas kedatangan Islam dan masakini.
Selepas Islam mula bertapak di Uganda, gerakan dakwah bergiat aktif dan Islam tersebar luas hasil usaha daripada pendakwah dan pedagang Arab dan India yang masuk berdagang pada ketika itu. Hasilnya hampir 30 peratus penduduk Uganda beragama Islam sebagaimana dilihat hari ini. Atas usaha – usaha tersebut, syiar Islam jelas kukuh di kalangan penduduk Uganda. Masjid jelas kelihatan tersergam indah di serata Uganda begitu juga pegajian agama Islam samada moden atau tradisional.

Salah satu kejayaan dakwah di Uganda adalah penubuhan Universiti Islam di Uganda pada tahun 1988. Penubuhan Universiti Islam tersebut adalah hasil usahasama Kerajaan Uganda dengan Organisation Of Islamic Cooperation ( OIC ). Ketika awal penubuhannya dengan hanya seramai 80 pelajar dan dua program ijazah, Universiti Islam Uganda boleh berbangga hari ini dengan pelajarnya mencecah 8,000 orang dan menawarkan 72 program samada ijazah, ijazah sarjana mahupun kedoktoran dalam pelbagai bidang. Hari ini universiti ini dipimpin oleh Prof Dr Ahmad Sengedo yang merupakan juga seorang tokoh dan pemimpin utama umat Islam di Uganda.

Sejak merdeka dan menjadi negara Republik, dua daripada Presiden Uganda adalah beragama Islam. Idi Amin Dada Oumee menjadi Presiden Uganda dari tahun 1971 hingga 1979. Yusuf Lule menjadi Muslim kedua menjawat jawatan Presiden Uganda dan mengambil alih jawatan Presiden Uganda daripada Idi Amin bermula dari April sehingga Jun 1979 selepas berlakunya perang Tanzania – Uganda yang menyaksikan Idi Amin melepaskan jawatan. Bagaimanapun beliau memegang jawatan tersebut hanya sementera untuk meredakan ketegangan dan menamatkan perang tersebut, seterusnya melepaskan jawatan tersebut kepada Godfrey Biniasa. Walau pelbagai tuduhan dan kontroversi di lemparkan kepada Idi Amin semasa pemerintahannya, sebenarnya banyak jasa beliau kepada umat Islam di Uganda. Antara jasa besar Idi Amin ialah memberikan hak kepada orang Islam untuk mengurus tempat-tempat sembelihan justeru tidak perlu bimbang untuk membeli daging-daging yang dijual di sana kerana ianya adalah halal.

Ketika menghadiri Persidangan Ahli – Ahli Parlimen Komenwel baru – baru ini, walaupun Uganda dipimpin oleh presiden yang tidak beragama Islam namun keharmonian dan toleransi agama begitu baik sekali terlihat di sana. Apa yang menariknya, enam daripada ahli kabinet kerajaan adalah beragama Islam. Melihat perkembangan Islam di Uganda, saya percaya Islam mampu bertapak kukuh dan berkembang pesat di negara tersebut. Saya melihat Islam mampu cermerlang di Uganda dan Afrika amnya dan Dunia Islam harus memainkan peranan jitu dan konstruktif untuk membantu perkembangan tersebut.

Di samping kita melihat masalah di Asia Barat, Palestin, Afghanistan, Iraq, Rakhine, Uighur, Syria dan beberapa kemulut yang melanda Dunia Islam, saya berpandangan Dunia Islam harus memberikan penumpuan juga kepada benua Afrika yang mana umat Islamnya masih agak ketinggalan berbanding majoriti umat Islam lain di dunia. Berkemungkinan besar umat Islam di benua Afrika mampu mencorakkan pola geopolitik dunia di masa depan. Kehadiran kuasa – kuasa besar dunia seperti China, Russia dan Amerika Syarikat yang sudah mula berlumba – lumba sekarang memasuki negara – negara Afrika dengan pelaburan yang besar, bantuan ketenteraan dan mendirikan kemudahan ketenteraan di beberapa negara Afrika membuktikan kepentingan Afrika dalam struktur pola geopolitik dunia di masa hadapan.

Afrika sebagai sebuah benua yang belum diterokai sepenuhnya samada untuk kepentingan geopolitik, sumber alam semulajadi dan kepentingan ketenteraan sudah mula menarik minat kuasa – kuasa besar dunia saat ini. Dunia Islam tidak seharusnya lalai dan belajar dari sejarah lampau dan masakini, sikap sambil lewa ataupun tunggu dan lihat akan membuatkan Dunia Islam akan meratapi kemusnahan seperti apa yang terjadi di Afghanistan, Iraq dan Syria. Kepentingan Dunia Islam di benua Afrika harusdi semai, dijaga dan dipertahan kerana tiada siapa tahu masa depan. Siapa tahu suatu masa nanti, benua Afrika ataupun negara – negara Islam di Afrika akan bangkit dan menjadi salah satu kuasa geopolitik yang utama di dunia. Semoga Allah SWT merahmati dan melindungi umat Islam di Uganda serta benua Afrika secara amnya.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok.