Home Berita PAS Melaka

Dr Yadzil sumbang sejadah peserta program ‘Sujudku’ anjuran PPHWM

107
SHARE
Dr Yadzil menyampaikan sumbangan yang diterima oleh Kintan Man, bagi pihak PPHWM

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 18 Apr: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd.Yadzil Yaakub telah menyumbangkan sejadah sebagai cenderahati kepada peserta program ‘Sujudku’ anjuran Pertubuhan Prihatin Harmoni Wanita Melaka (PPHWM).

Dr Yadzil yang dijemput sebagai tetamu kehormat telah menyampaikan cenderahati tersebut dalam program itu yang berlangsung di Masjid Jamek Ayer Barok, Jasin, pada 15 April lepas.

Menurut satu kenyataan yang dihantar PPHWM kepada WARM-Berita PAS pagi tadi, pengisian utama program ini ialah terdiri daripada solat sunat berjemaah iaitu solat taubat, tasbih, duha dan solat hajat dan diadakan dalam waktu duha iaitu dari 8.50 pagi hingga 11.45 pagi.

Dr Yadzil (tengah, baris belakang sekali) bergambar bersama peserta program.

“Program ‘Sujudku’ adalah kali kedua dianjurkan bertepatan tahun kedua PPHWM ditubuhkan secara rasmi oleh pihak Pendaftar Pertubuhan.

“Sujudku mengambil Ibrah di mana seorang sahabat Rasulullah S.A.W memohon minta didoakan beliau masuk masuk bersama-sama Baginda S.A.W. Lalu dijawab oleh baginda S. A. W., ‘banyakkan sujud’,” kata kenyataan itu.

Penasihat PPHWM, Kintan Man (kanan) sedang menyampaikan cenderahati kepada penceramah Ustazah Khadijah

Tambah kenyataan itu lagi, Penasihat PPHWM, Kintan Man semasa berucap dalam ucapan perasmian penutup menyeru semua hadirin agar memperbanyakkan sujud di sepanjang hayat hidup di dunia agar dapat meraih kehidupan di syurga bersama- sama baginda Rasulullah S.A.W.

Kata kenyataan itu lagi, majlis turut diserikan dengan pengisian majlis ilmu yang disampaikan oleh Ustazah Khadijah Mahmud, seorang lepasan universiti Al Azhar yang mengupas tajuk yang diberi oleh penganjur iaitu ‘Mulianya Ramadan Kerana Al Quran’.

“Dengan kedalaman ilmu serta keluasan pengalaman beliau berjaya menyampaikan tazkirah dengan amat padat dan padu serta diselangi interaksi komunikasi soalan yang menguji minda peserta dibawa dalam intonasi segar lagi mengujakan,” ujar kenyataan itu.

PPHWM dalam kenyataan itu turut menzahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas kejayaan pelaksanaan program ini serta berharap agar mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T terutama di bulan Ramadan Al Mubarak ini.

“PPHWM juga berharap agar dapat istiqamah menganjurkan program ‘Sujudku’ ini serta dapat menganjurkan program-program lain demi menyantuni hati budi masyarakat secara hubungan horizontal bersenergi mujahadah, bertaqarub kehadrat Illahi melalui hubungan vertikal kepada Allah S. W. T. semata- mata mengharap keredaan Allah,” ujar kenyataan itu.