Home Berita PAS Johor

Dr Rosni ziarah dua beradik mangsa kemalangan maut di Segamat

66
SHARE

Dr Rosni ziarah dua beradik mangsa kemalangan maut di Segamat

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR , 9 Oktober : Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan (LKK) PAS Pusat, Dr Rosni Adam ziarah menyantuni dua beradik anak mangsa kemalangan maut, dekat sini kelmarin.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) hadir ke rumah nenek kepada adik Abdurrahman Amir Rudin, 19 dan adiknya Abdullah Amir Rudin 15, di Parit Jawa di mana dua beradik ini tinggal ketika ini.

Abdullah yang terselamat dalam kemalangan tersebut kini masih terlantar dalam pantauan doktor dan dijaga oleh keluarga sebelah ibunya Allahyarhamah Norahimah Noor Muhamad.

Turut hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Ketua LKK PAS Negeri Johor, Mohd Jubri Selamat bersama isteri serta Ketua LKK PAS Kawasan Muar, Sukor Naam.

Dr Rosni turut menyampaikan sumbangan dari Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat kepada Abdurrahman dan Abdullah.

Mereka berdua telah kehilangan kedua ibu dan bapanya serta empat orang adik beradik dalam satu kemalangan di jalan Segamat – Kuantan pada 1 September yang lalu.

Kemalangan melibatkan 6 beranak itu telah menyebabkan kematian Amir Rudin Ismail, 46, Norahimah Noor Muhamad, 43, Fatimatuzzahrah Amir Rudin, 17, Seri Khadijah Aqilah Amir Rudin, 13, Rufaidatul Ansyariah Amir Rudin, 10 dan Muhamad Shakrawi Amir Rudin, 5.

Bapa saudara mereka Ustaz Khairul Noor Muhamad mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan PAS yang tidak putus-putus hadir dan memberikan sumbangan. Juga rakyat Malaysia yang banyak mendoakan mereka.

Antara pimpinan PAS yang telah hadir ialah Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassurudin Daud, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, YB Ustaz Dato’ Ahmad Yahya, Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Fadhli Saari, Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Md Salleh dan Adun-Adun dari Kelantan, Kedah, Selangor. Juga lain-lain pimpinan kawasan dan negeri dari serata Malaysia.