Home Berita PAS Wilayah

DMPWP serah 50 PPE pada PKD Klang

670
SHARE

Oleh: Dhiya’ Muttmainnah

KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia dan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (LKK DMPWP) telah menyerahkan 50 set PPE di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang, semalam.

Hadir untuk menyerahkan kelengkapan PPE tersebut adalah Ketua DMPWP, YB Senator Ustazah Hajah Nuridah Mohd Salleh bersama Pengerusi LKK DMPWP, Zurina Din yang juga mewakil Khidmat Malaysia.

Kedua-duanya turut dijemput untuk melihat kerja-kerja penghasilan PPE yang telah dianjurkan oleh Klinik Kesihatan Farah, Klang bersama Mercy Malaysia.

Kebanyakan petugas yang terlibat dalam penghasilan PPE tersebut adalah para sukarelawan Mercy Malaysia dan petugas klinik kesihatan di pejabat kesihatan itu sendiri.

LKK DMPWP dan Khidmat Malaysia juga telah menerima lima kotak kain PPE dari PKD Klang untuk digunakan bagi menjahit set kelengkapan PPE yang bakal disumbangkan kepada hospital-hospital sekitar Lembah Klang.

Dalam pertemuan singkat itu, YB Senator Ustazah Nuridah sempat menyuntik kata-kata semangat kepada para petugas barisan hadapan negara.

“Semoga semua petugas barisan hadapan negara sihat sejahtera dan lebih bersemangat untuk menabur bakti buat masyarakat dalam menangani penularan wabak Covid-19 ini,” ujar beliau.

Beliau turut berharap agar lebih banyak pihak dapat bersama-sama membantu barisan hadapan negara ini mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.

DMPWP telah menubuhkan Team Menjahit PPE pada 6 April 2020 untuk menyumbang tenaga dan kemahiran menjahit set kelengkapan PPE bagi kegunaan para petugas di barisan hadapan.

Kerja-kerja penghasilan PPE oleh kumpulan ini terus berjalan hingga ke hari ini bagi memastikan lebih banyak PPE dapat disumbangkan dari semasa ke semasa.