Home Berita PAS Wilayah

DMPWP ingin bangunkan pertanian bandar, sambut agenda LA21 KL

459
SHARE

Oleh : Dhiya’ Muttmainnah
10 Januari 2021

KUALA LUMPUR : Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) telah melawat Johan Keseluruhan Kebun Kejiranan Kuala Lumpur yang terletak di Perumahan Awam Seri Perlis 2, baru-baru ini.

Tujuan lawatan tersebut diadakan adalah bagi mendapatkan pendedahan yang lebih luas agar usaha membangunkan taman komuniti berasaskan pertanian bandar ini juga dapat dijayakan di peringkat DMPWP.

Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang mengetuai lawatan tersebut telah dibawa melihat lapan plot kebun di perumahan tersebut yang sudah berjaya ditanam dengan pelbagai tanaman antaranya temu lawak, daun bidara, daun salam dan pokok chaya sejak tahun 2010 lagi.

Pengerusi Projek Kebun Kejiranan Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL), Rashdan Rashid yang menyambut kunjungan pihak DMPWP itu turut berkongsi tentang jenis-jenis tanaman dan kaedah penanamannya agar pertanian bandar dapat dipraktikkan dengan betul.

LA21 KL adalah sebuah badan yang berperanan sebagai fasilitator dan penghubung antara masyarakat setempat dengan pihak kerajaan mahupun agensi swasta dalam menjayakan usaha murni ini.

“InsyaAllah kami akan menjemput Saudara Rashdan untuk memberikan taklimat kepada muslimat Wilayah Persekutuan agar agenda pertanian bandar ini dapat dilaksanakan di peringkat DMPWP.

“Kami juga akan menjemput para ibu tunggal, warga emas dan sesiapa sahaja yang berminat untuk turut sama menyambut inisiatif yang baik ini,” ujar YB Senator Ustazah Nuridah semasa lawatan tersebut.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk menyebarluaskan agenda pertanian bandar ini kepada para muslimat PAS di seluruh Malaysia melalui DMPM.

Hadir sama dalam lawatan ini adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPWP, Zurina Din.