Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

DMPP: Segera tangani isu halal daging import

477
SHARE

1. Dewan Muslimat PAS memandang serius perkara ini apabila Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya merampas daging kambing sejuk beku Australia yang dirampas di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) bernilai RM365,917. Daging tersebut dirampas kerana dokumen halal yang mengelirukan serta tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam permit import MAQIS.

2. Rampasan ini telah mengundang rasa tidak yakin masyarakat terhadap daging sejuk beku import kerana bimbang daging tersebut tidak halal. Ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian rampasan yang dilakukan oleh MAQIS Johor yang mana hasil risikan mereka mendapati terdapat pembungkusan semula plastik yang dilabel logo halal. Hasil risikan bersepadu yang diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendapati daging sejuk beku itu dibawa dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina. Negara-negara tersebut bukanlah negara yang dibenarkan mengeksport daging sejuk beku ke negara Malaysia. Hasil rampasan adalah sebanyak 1500 tan daging sejuk beku bernilai RM3 juta.

3. Sesungguhnya perkara melibatkan makanan halal bukanlah suatu perkara yang main-main dan tidak seharusnya dipandang enteng. Walaupun hasil risikan KPDNHEP daging yang terlibat bukanlah daging babi, namun status sembelihan dan status halal daging tersebut tetap menjadi tanda tanya. Terdapat petikan ayat al-Quran yang menegaskan akan keseriusan status halal makanan iaitu dalam surah Al-Baqarah ayat 168. Firman Allah swt, mafhumnya;

“Wahai manusia, makanlah dari makanan yang halal dan baik yang terdapat di muka bumi, dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu,”

4. Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru semua pihak berganding bahu bagi menangani masalah daging sejuk beku yang dikhuatiri status halalnya. Selain KPDNHEP, MAQIS dan JAKIM, pihak SPRM juga harus terlibat sama dalam menyiasat samada terdapat unsur rasuah yang mebabitkan kakitangan awam dalam isu tersebut. Usaha sama yang baik di antara semua agensi terbabit amat diperlukan demi memastikan masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin.

#IslamMemperkukuhPerpaduan
#IslamMemimpinWanitaSejahtera

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
21 Disember 2020 bersamaan 6 Jamadilawwal 1442H