Home Berita PAS Melaka

DMPNM jalin hubungan strategik dengan beberapa NGO wanita Melaka

172
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 25 Apr: Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) telah menjalinkan hubungan strategik bersama dengan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita sempena bulan Ramadan ini sebagai satu anjakan paradigma.

Menurut ketuanya, Kintan Man, dengan gabungan sttategik ini DMPNM percaya ia akan memantapkan lagi program-program yang selama ini menjadi produk tahunan dewan ini.

“Antara NGO tersebut ialah Pertubuhan Prihatin Harmoni Wanita Melaka, Persatuan Sukarelawan Tun Teja, Persatuan Wanita Sejahtera Melaka dan beberapa NGO lagi.

“Dengan gabungan yang mantap ini, produk tahunan DMPNM seperti Sutera Kasih Tautan Hati, Anak Yatim Dirai (SKTHAYDR) yang kita laksanakan hari ini dapat diberi nafas baharu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada WARM-Berita PAS Melaka usai program tersebut yang berlangsung di Rumah Melaka, Bukit Katil, pada Sabtu kelmarin.

Tambah beliau lagi, untuk program ini, pihak penganjur telah mengutip dana yang mencukupi iaitu sebanyak RM18 ribu yang disumbang oleh para dermawan budiman.

“Semua dana ini disalurkan kepada para peserta dalam bentuk wang tunai sebanyak RM150 dan hamper bernilai RM50 seorang. Adapun bahagian pengurusan dan kelancaran program ditanggung oleh pihak penganjur sendiri.

“Kami dengan penuh rasa takzim mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para dermawan yang memberi keyakinan kepada kami menjadi jambatan penghubung antara para penyumbang kepada anak-anak yatim daripada keluarga asnaf ini.

“Semoga program menyantuni masyarakat yang kurang bernasib baik ini mampu memberikan rasa gembira kepada mereka. Dan lebih utama membuahkan jalinan ukhuwah serta keutamaan mencapai rahmat keberkatan daripada Allah S.W T,” ujar beliau lagi.

Seramai lebih kurang 150 orang yang terdiri dari 90 orang peserta, penjaga dan urusetia telah memenuhi ruang dewan utama Rumah Melaka seawal jam 2 ptg. lagi.

Majlis perasmian telah disempurnakam oleh Exco NGO Squad Prihatin Malaysia, Noor Hanim Ismail.

Dalam ucapannya, Noor Hanim sempat memberi motivasi kepada para hadirin, iaitu para penjaga yang merupakan ibu tunggal kepada anak- anak yatim.

“Biar kita merotan mengikut syarak anak- anak kita sekarang bagi tujuan mendidik, daripada kita menyesal di kemudian hari kelak kerana anak-anak merupakan a set dunia dan akhirat,” ujar beliau di dalam ucapan tersebut.