Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

DMPM Sambut Baik Inisiatif Menteri Agama

250
SHARE

Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyambut baik lima inisiatif mantap yang bakal dilaksanakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad dengan tema “Bersama Agensi Islam menyantuni keluarga Malaysia mendepani Covid-19”.

2. Lima inisiatif yang disebut dalam ucapan sulung YB Menteri meliputi aspek spiritual dan fizikal ke arah pembangunan dan pemantapan semua 14 agensi kerajaan di bawah jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Yayasan Waqaf Malaysia.

3. Inisiatif pemantapan sistem pendidikan Islam dan pemantapan institusi kekeluargaan merupakan inisiatif penting terhadap golongan wanita. Justeru itu DMPM memberi perhatian khusus terhadap inisiatif ini.

4. Masalah keciciran pelajaran dalam bidang agama salah satunya berpunca daripada kesukaran pihak sekolah untuk memantau penguasaan ilmu Fardhu Ain dan Al-Quran di kalangan pelajar. Satu mekanisme yang bertepatan dengan norma baharu haruslah dikaji dan dilaksana secara proaktif agar masalah ini dapat diatasi di kalangan pelajar Muslim. Mekanisme untuk mengatasi keciciran pelajaran agama mestilah merangkumi golongan Orang Kurang Upaya(OKU) dan Muallaf.

5. Institusi kekeluargaan mestilah dilindungi. Antara permasalahan utama yang harus diselesaikan dengan kadar segera adalah operasi Mahkamah Syariah yang tergendala akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan. DMPM mencadangkan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan permasalahan yang bersangkutan institusi keluarga ini secara segera dan menyeluruh.

6. DMPM juga mencadangkan agar peranan dan idea profesional wanita dimanfaatkan sebaiknya dalam mengangkat isu-isu khusus bersangkutan kekeluargaan.

7. DMPM yakin pengalaman luas YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad akan dapat membantu YB Menteri mengemudi portfolio yang bertanggungjawab ke atas institusi-institusi harapan ummat Islam. Insya Allah.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’
‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
2 September 2021 | 24 Muharam 1443H