Home Berita PAS Terengganu

Dewan Ulama ucap takziah atas pemergian Dr Yusof Al-Qardhawi

66
SHARE

Dewan Ulamak PAS Pusat dengan rasa penuh dukacitanya merakamkan setinggi-tinggi ucapan takziah kepada ahli keluarga dan seluruh umat Islam di atas pemergian Syeikhul Ummah Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi.

2. Sesungguhnya umat Islam kehilangan permata ummah yang sangat berharga dengan berita pemergian Almarhum.

3. Terlalu besar jasa Almarhum untuk ummah sejagat. Beliau telah mewakafkan sepenuh komitmen terhadap bidang keilmuwan dan dakwah serta menukilkan pelbagai naskah daripada neraca perspektif Al-Quran, Al-Hadith serta bidang ketauhidan.

4. Malah, penulisan dan perbahasan beliau dalam bidang fiqh kenegaraan, usul fiqh serta ekonomi Islam kontemporari memecahkan tembok penyelesaian selain memberikan panduan yang penting kepada ummah pada hari ini.

5. Tidak dapat dinafikan ketokohan Syeikhul Islam Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi sebagai ulama terulung pada abad ini. Guru beliau, Syeikh Muhammad Al-Ghazali pernah menyebutkan bahawa Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi suatu ketika dahulu adalah anak muridnya, namun kini beliau telah menjadi guru. Hakikat ini menggambarkan keilmuwan yang tinggi pada susuk tubuh Almarhum.

6. Dewan Ulamak PAS Pusat merasai kesedihan umat Islam yang kehilangan seorang tokoh ulama yang berjasa pada ummah. Kehilangan seorang tokoh ulama ibarat patahnya payung besar yang memayungi ummah.

7. Semoga Almarhum Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi diletakkan dalam kalangan mereka yang bertaqwa dan beramal soleh. Semoga gagasan keilmuwannya diwarisi oleh generasi ummah pada masa ini dan akan datang.

YB SENATOR USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAHYA
KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

29 Safar 1444H bersamaan 26 September 2022M